Home Sukan KANE DALAM SENARAI TIGA TERATAS UNTUK BALLON D’OR – KLINSMANN

KANE DALAM SENARAI TIGA TERATAS UNTUK BALLON D’OR – KLINSMANN

BERLIN: Bekas penyerang Jerman, Jurgen Klinsmann, berkata penyerang Bayern Munich, Harry Kane, patut dianggap sebagai salah satu calon utama untuk memenangi Ballon d’Or seterusnya.

Klinsmann yang memenangi Piala Dunia 1990 berkata, Kane seharusnya berada dalam tiga teratas Ballon d’Or, yang diberikan setiap tahun kepada pemain bola sepak lelaki terbaik, tetapi menambah perjalanan jauh ke peringkat akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) akan menjadi kunci kepada peluang pemain berusia 31 tahun itu.

Kane dan Bayern Munich akan menentang Inter Milan pada aksi suku akhir pertama UCL di Munich, awal pagi esok.

“Jika anda pergi sekurang-kurangnya ke separuh akhir, mungkin jika anda menang UCL, ia akan datang dengan sendirinya,” kata Klinsmann kepada AFP dan media lain dalam panggilan telefon dari rumahnya di Los Angeles, hari ini.

Michael Owen adalah pemain Inggeris terakhir yang memenangi Ballon d’Or selepas meraih anugerah itu pada 2001.

Klinsmann yang sama seperti Kane apabila berpindah dari Tottenham ke Bayern berkata, beliau melihat persamaan dengan laluan kerjayanya sendiri.

“Dia menghadapi situasi yang serupa dengan apa yang saya hadapi di peringkat kelab. Sehingga saya meninggalkan Spurs dan pergi ke Bayern, saya belum memenangi sebarang gelaran kelab.

“Saya selalu berkata jika Harry meninggalkan Spurs pada satu masa tertentu, dia akan mendapat peluang untuk memenangi gelaran dengan pasukan kelabnya.”

Bayern kini mendahului dengan kelebihan enam mata di hadapan juara bertahan Bundesliga, Bayer Leverkusen ketika berbaki enam perlawanan lagi, sekali gus meletakkan Kane di landasan untuk meraih gelaran pertamanya dalam kerjaya.

Klinsmann tidak pernah memenangi Ballon d’Or, tetapi menduduki tempat kedua dalam undian pada 1995.

Pemain berusia 60 tahun itu secara bergurau berkata, masa lebih daripada bakat yang menghalangnya daripada meraih anugerah individu terbesar dalam sukan bola sepak.

“Saya sedikit tidak bernasib baik kerana apabila mendapat tempat kedua, mereka membuka undian untuk kali pertama kepada pemain dari luar Eropah.

“Dan kemudian muncul seorang George Weah, yang memiliki tahun hebat bersama AC Milan. Itulah masa tidak tepat untuk saya.”

Weah dari Liberia muncul pemain pertama dan tunggal dari Afrika yang memenangi anugerah itu setakat ini. – AFP, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here