Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dilaporkan lemas ketika berada di Pantai Kemayang, di sini, petang semalam.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK II), Mohd Zamizi Muhamad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.15 malam petang semalam.
“Susulan makluman diterima, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok telah digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira 10 minit kemudian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, komander operasi mengesahkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai lemas di pantai berkenaan. Anggota bomba segera menjalankan operasi pencarian di permukaan air serta persisiran pantai,”katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata operasi turut dibantu oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Pengkalan Chepa.
“Namun begitu, operasi hari pertama ditangguhkan pada jam 3.12 pagi tadi. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pada hari kedua bermula jam 8 pagi ini dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Maritim Malaysia, Pasukan bomba Sukarela (PBS) Kota Jembal dan RELA.
“Seramai 42 anggota terlibat dalam operasi hari kedua yang menggunakan dua buah bot bagi pencarian di permukaan air, selain pencarian di persisiran pantai oleh anggota PPDA dan agensi terlibat,”katanya.
JBPM memaklumkan operasi SAR masih diteruskan dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
IMedikel TV






