MATARAM: Luluh hati mengenangkan nasib seorang remaja di Lombok di Indonesia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia oleh kakak kandungnya sendiri apabila mangsa dilacurkan.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, lebih kejam, remaja perempuan malang berusia 14 tahun itu bukan sahaja dijual, malah dipaksa melayan nafsu seorang usahawan hidung belang sehingga hamil dan kini melahirkan seorang bayi pramatang.
Detik melaporkan, perbuatan terkutuk itu terbongkar selepas mangsa yang berada dalam keadaan tertekan diselamatkan pihak berkuasa.
Ketua Jabatan Sosial (Dinsos) Mataram, Lalu Syamsul Adnan berkata, bayi yang dilahirkan mangsa kini berada dalam keadaan kritikal dan masih dirawat di Hospital Awam Daerah (RSUD) Nusa Tenggara Barat (NTB).
Katanya, bayi malang itu dilahirkan tidak cukup bulan dengan berat hanya 1.7 kilogram (kg).
“(Keadaan bayi) masih di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU),” katanya.
Menurutnya, pihak Jabatan Sosial akan segera menyalurkan bantuan kecemasan kepada ibu dan bayi itu, selain bekerjasama dengan Jabatan Sosial NTB untuk menyediakan khidmat kaunseling trauma memandangkan mangsa mengalami tekanan perasaan yang teruk.
Dalam pada itu, identiti lelaki durjana yang melanggan mangsa akhirnya berjaya didedahkan selepas siasatan rapi dijalankan oleh Institut Perlindungan Anak (LPA) Mataram.
Pengerusi LPA Mataram, Joko Jumadi berkata, suspek dikenal pasti sebagai seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Om A’.
“Selepas siasatan lebih sebulan di beberapa hotel, kami akhirnya berjaya menjejaki individu itu.
“Kami membawa mangsa ke beberapa hotel di sekitar Mataram sebelum dia akhirnya dapat mengingati dan mengecam lokasi dia diperlakukan tidak senonoh oleh suspek, iaitu sebuah hotel empat bintang dan sebuah inap desa,” jelasnya.
Joko berkata, siasatan mendapati suspek iaitu usahawan terbabit berulang kali menempah mangsa yang masih di bawah umur itu di lokasi berbeza.
“Jika tidak silap, mangsa ‘ditempah’ sebanyak empat kali oleh usahawan itu sehingga akhirnya disahkan hamil,” katanya. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






