KUALA LUMPUR: Tawaran lumayan bernilai RM500,000 pernah ditolak pelakon dan penyanyi, Elly Mazlein kerana skop tugasan didakwa menuntut dirinya menanggalkan tudung.
Memetik laporan Berita Harian, Elly atau nama sebenar, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 46, berkata tawaran itu tidak menepati prinsip hidupnya dan menganggap bukan rezeki tertulis buatnya.
“Saya dapat satu tawaran masa mula-mula berhijab dulu. Memang lumayan, sampai setengah juta ringgit, tetapi syaratnya saya perlu buka tudung.
“Bila saya buat keputusan untuk berhijab, walaupun dibayar macam mana sekali pun, saya tetap dengan keputusan saya,” katanya ditemui di Warna Lebaran Ariani Fashion Show 2026 di sini, semalam.
Elly berkata, dia menolak tawaran terbabit secara baik dan berhemah meskipun pihak yang menawarkan itu bersungguh-sungguh mahu dia menerimanya.
“Mereka tahu saya sudah bertudung, sebab itu mereka letak harga setengah juta. Tapi saya beritahu saya tak dapat bekerjasama kalau perlu buka tudung.
“Sekiranya mereka mahu saya jadi duta, prinsip saya tetap akan memakai tudung. Saya percaya akan ada rezeki untuk saya di tempat lain.
“Walau macam mana pun kita nak tolak tawaran, kita kena jawab dengan baik. Saya beritahu secara berhemah dan Alhamdulillah mereka terima keputusan saya,” katanya.
Penyanyi Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu menegaskan imej bertudung sepatutnya tidak menjadi halangan untuk tujuan kerja dan dia akan terus mempertahankan prinsip dirinya. – BH Online –
IMediukel TV






