Home Buletin Semasa JKNK KELUAR 11,784 NOTIS KOMPAUN, BABIT KESALAHAN ROKOK AKTA 852

JKNK KELUAR 11,784 NOTIS KOMPAUN, BABIT KESALAHAN ROKOK AKTA 852

Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan sebanyak 11,784 notis kompaun membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sejak 1 Oktober tahun lalu.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah merokok di tempat larangan yang sudah diwartakan, selain kesalahan menjual dan mempamerkan produk rokok yang tidak mematuhi kehendak pelabelan dan pembungkusan.

“Sehingga 30 September lalu, JKNK sudah memeriksa 20,608 premis dan menjalankan 2,676 operasi, selain mengeluarkan 11,784 notis kompaun bagi kesalahan di bawah Akta 852.

“Bagi tempoh sama, 21 kertas siasatan turut dibuka bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun, menunjukkan komitmen tinggi jabatan terhadap penguatkuasaan undang-undang tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Operasi Selamat Paru-paru ‘Malam’ Penguatkuasaan Penuh Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) Peringkat Negeri Kelantan di Cawangan Kawalan Penyakit, JKNK Kota Bharu, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, operasi besar-besaran itu disertai 120 anggota penguat kuasa dari seluruh jajahan, membabitkan pemeriksaan di stesen minyak, kedai serbaneka dan premis makanan.

Menurutnya penguatkuasaan penuh bermula pada 1 Oktober lalu, yang mana semua premis tidak lagi dibenarkan mempamerkan produk rokok secara terbuka kepada pelanggan dan penjualan hanya boleh dilakukan atas permintaan, selaras dengan peraturan baharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Akta 852 mula dilaksanakan secara berperingkat sejak Oktober 2024 sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya tahun ini, bagi memastikan persekitaran bebas asap rokok serta melindungi kesihatan awam daripada bahaya perokok aktif dan pasif.

“Pelaksanaan penuh akta ini membabitkan beberapa seksyen utama termasuk Seksyen 3 (pendaftaran produk rokok), Seksyen 10 (penjualan atau paparan produk tidak patuh) dan Seksyen 15 (mengimport atau mengedar produk tidak memenuhi kehendak pembungkusan),” katanya.

Jelasnya, hasil pemantauan menunjukkan tahap kepatuhan masyarakat di negeri itu semakin meningkat berikutan pelbagai kempen kesedaran yang dijalankan sepanjang tempoh setahun lalu.

“Walaupun masih terdapat segelintir yang ingkar, kita percaya tiada lagi alasan untuk mengatakan tidak tahu tentang penguatkuasaan ini kerana hebahan telah dibuat melalui pelbagai platform termasuk media, badan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here