Home Buletin Semasa JKM KELANTAN SALUR BANTUAN RM500 KEPADA PAK MAIL, PANTAU RAPI KEADAAN WARGA...

JKM KELANTAN SALUR BANTUAN RM500 KEPADA PAK MAIL, PANTAU RAPI KEADAAN WARGA EMAS TERLANTAR

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan akan menyalurkan bantuan bulanan berjumlah RM500 kepada seorang warga emas, Pak Mail, yang terlantar sakit, bermula bulan ini.

Pengarah JKM Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, bantuan tersebut diberikan di bawah Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) bagi memastikan keperluan asas dan kebajikan Pak Mail atau nama sebenarnya Ismail Che Noh, 79, terus terjaga.

“Memandangkan keadaan kesihatan Pak Mail yang uzur dan terlantar, bantuan berkenaan tidak akan disalurkan terus kepada beliau, sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun bank ahli keluarga terdekat yang bertanggungjawab menjaga mangsa. 

“Bantuan ini bertujuan memastikan keperluan Pak Mail seperti peralatan dan penjagaan harian dapat disalurkan dengan baik serta mencapai matlamat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pertubuhan Kebajikan dan Sukarelawan Kelantan di Min Camp House, Kubang Kerian, di sini.

Che Samsuzuki berkata, bantuan bulanan berjumlah RM500 itu akan disalurkan segera bermula Februari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan JKM akan menjalankan pemantauan rapi terhadap keadaan Pak Mail sepanjang tempoh seminggu pertama

 “Dalam tempoh seminggu ini, pemantauan akan dibuat secara dekat oleh pegawai JKM. Selepas itu, pemantauan akan diteruskan secara berkala,” katanya.

Menurutnya, JKM turut melibatkan sukarelawan termasuk daripada Program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) serta pertubuhan kebajikan lain bagi membantu memantau kedudukan dan kebajikan Pak Mail.

Media sebelum ini melaporkan kisah menyayat hati warga emas itu tular sejak Jumaat lalu apabila aktivis dikenali Abbe Hae memuat naik kisah Pak Mail di media sosial miliknya dan perkongsian itu mendapat perhatian pelbagai pihak.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here