KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menawarkan remisi atau diskaun penalti 100 peratus kepada pembayar cukai tak langsung menerusi Program Pengakuan Sukarela (VDP) bermula awal bulan depan sehingga 31 Mei 2024.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata ia diberikan kepada pemohon yang memenuhi syarat ditetapkan.
Beliau berkata penganjuran VDP kerana kerajaan prihatin dengan permasalahan syarikat dan industri bagi memudahkan pihak terbabit berurusan mengenai cukai tak langsung secara terus dengan JKDM.
“Cukai yang terlibat dalam program ini adalah semua cukai yang bertanggungan sehingga 28 Februari 2023.
“Tidak termasuk semua tanggungan cukai atau penalti yang sedang atau telah disiasat oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM.
“Juga tidak termasuk bil tuntutan yang dikeluarkan oleh JKDM atau kes-kes tribunal atau mahkamah yang sedang dalam perbicaraan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut penganjuran VDP, Ahmad berkata ia selaras dengan pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu.
Pada tahun ini, beliau berkata JKDM melakukan penjajaran semula strategi kutipan cukai yang ditetapkan oleh kerajaan kepada agensi itu berdasarkan empat strategi yang digariskan.
“Pertama, meningkatkan kecekapan dalam aktiviti memungut hasil negara. Kedua, memberi fasilitasi perdagangan yang lebih efisyen dan efektif.
“Ketiga, meningkatkan tahap pematuhan industri dengan pelbagai aktiviti pendidikan dan kerjasama.
“Keempat, penguatkuasaan undang-undang yang lebih telus dan pengauditan yang bersasar,” katanya.
Sumber BH Online
Imedikel TV






