Home Buletin Semasa JIM TAHAN 41 WARGA ASING DI SEKITAR SEREMBAN, NILAI

JIM TAHAN 41 WARGA ASING DI SEKITAR SEREMBAN, NILAI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

SEREMBAN: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) menahan 41 pendatang tanpa izin daripada 178 individu yang diperiksa dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Seremban dan sebuah penempatan rumah kongsi di Nilai, awal pagi semalam. 

Operasi bermula pukul 9 malam semalam hingga 3 awal pagi itu menyaksikan seramai 178 warga asing diperiksa sebelum 41 individu berusia antara 18 hingga 58 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen. 

Pengarah JIMNS Mohd Razip Yasin berkata kesemua tahanan berumur antara 18 hingga 58 tahun itu terdiri daripada 33 lelaki dan lapan perempuan menerusi operasi yang bermula dari tengah malam semalam. 

“Kesemua warga asing yang ditahan terdiri daripada 18 warganegara Myanmar, Bangladesh (lapan), China (tujuh), Indonesia (tiga), manakala masing-masing seorang dari Pakistan, Vietnam, India, Filipina serta seorang tidak mempunyai kewarganegaraan. 

“Antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada pas dan dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar peruntukan imigresen.

“Daripada jumlah tangkapan tersebut, seramai 17 orang ditangkap di sebuah penempatan rumah kongsi di Nilai. Semasa operasi dijalankan, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dan mereka tidak dapat melarikan diri kerana kesemua laluan sudah dikepung oleh pasukan operasi,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya operasi membabitkan tujuh lokasi di sekitar Seremban dan penempatan rumah kongsi berkenaan dilaksanakan berdasarkan aduan serta maklumat orang awam selain hasil risikan selama seminggu.

Beliau berkata kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan dan kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here