KUALA LUMPUR: Bermula sebagai pencipta kandungan media sosial yang mencuit hati, Badron Munirah semakin serius mengembangkan kerjaya dalam dunia lakonan sejak dua tahun lalu.
Memetik laporan Berita Harian, pelakon berusia 27 tahun itu tidak menyangka keputusan itu membuka lebih banyak peluang dalam bidang lakonan.
Malah, bakatnya mula menarik perhatian pengarah tempatan hingga sudah membintangi 10 drama untuk siaran televisyen (TV) atau platform penstriman.
Bagaimanapun, Badron atau nama lengkapnya, Mohammad Nur Badron Munirah Rio Abdillah mengakui masih menganggap setiap projek lakonan sebagai ruang untuk terus belajar dan menimba pengalaman.
Akuinya, prinsip sentiasa merendah diri menjadi pegangan setiap kali melangkah ke set penggambaran.
“Sudah dua tahun saya berlakon dan setiap hari saya belajar perkara baharu. Saya sentiasa buka diri untuk terima sesuatu yang baharu.
“Ada satu prinsip yang saya pegang dalam hidup, iaitu jangan rasa kita sudah hebat. Apabila masuk ke tempat baharu, kita belajar.
“Tidak kira saya berada di set mana sekalipun, semua pelakon saya hormati supaya saya boleh belajar daripada mereka. Pasti ada sesuatu yang boleh dipelajari daripada rakan gandingan,” katanya kepada BH Online.
Berkongsi mengenai perkembangan kerjayanya, Badron pada mulanya tidak meletakkan sasaran tinggi, sebaliknya menganggap bidang ini sebagai peluang menambah ilmu, kemahiran dan pengalaman.
“Sebenarnya, saya tidak jangka mampu sampai ke tahap ini dengan tawaran projek yang berterusan. Fokus saya sebenarnya adalah kepada penghasilan kandungan.
“Untuk lakonan pula, saya anggap ia sebagai ruang untuk tambah ilmu, kemahiran dan pengalaman.
“Kalau ada ruang, maka ada rezeki saya. Kalau tidak ada ruang, tidak mengapa.
“Apabila saya mula berlakon dan meletakkan pemikiran seperti itu, saya sendiri tidak perasan yang orang mungkin nampak saya ada kebolehan dalam lakonan,” katanya.
Namun, dengan perkembangan kerjaya lakonan, Badron kini semakin kurang aktif menghasilkan kandungan media sosial.
Badron yang dikenali menerusi drama Puteri & Phrince itu berkata, jadual penggambaran yang padat menyebabkan masa untuk menghasilkan kandungan semakin terhad.
“Sejujurnya, sekarang ini saya sudah kurang menghasilkan kandungan. Mungkin sudah dua atau tiga bulan saya kurang buat kandungan kerana kekangan masa.
“Seperkara lagi, sekarang apabila habis satu set penggambaran, saya terus masuk ke set yang lain. Jadi, masa untuk saya fokus kepada kandungan memang semakin kurang.
“Sampai pengurus saya sendiri pernah cakap, perlu pilih salah satu sama ada fokus kandungan atau fokus lakonan,” katanya.
Bagaimanapun, Badron masih belum membuat keputusan untuk meninggalkan dunia kandungan media sosial sepenuhnya kerana minat terhadap bidang itu masih ada.
“Minat saya masih kepada bidang penghasilan kandungan. Tetapi, saya tahu saya perlu kembangkan diri.
“Jadi, saya juga perlu fokus kepada lakonan. Saya masih cuba mencari masa untuk hasilkan kandungan media sosial,” katanya.
Badron berhijrah dari Mukah, Sarawak ke Kuala Lumpur demi mengembangkan karier seni pada 2023. Dia mula dikenali selepas membintangi drama Puteri & Phrince. – BH Online –
IMedikel TV






