Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Pelajar daripada keluarga B40 yang merupakan anak sulung dan berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di Universiti Sains Malaysia (USM) tidak perlu bimbang mengenai yuran pengajian apabila kos berkenaan ditanggung sepenuhnya universiti menerusi Program Pembangunan Siswa SULUNG (SULUNG).
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, berkata inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu bertujuan membantu meringankan beban keluarga, sekali gus membolehkan pelajar memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian.

“Yuran mereka sepanjang pengajian akan ditanggung sepenuhnya oleh USM.
“Jadi ibu bapa tidak perlu risau tentang yuran pengajian dan yang penting ialah memastikan para pelajar fokus kepada pembelajaran sahaja tanpa perlu memikirkan perkara lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Ibu Bapa Pelajar Baharu di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM, semalam.
Dalam pada itu beliau berkata seramai 621 pelajar baharu mendaftar di Kampus Kesihatan USM bagi sidang akademik 2026/2027.
Daripada jumlah itu, 185 pelajar mendaftar di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), 54 di Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) dan 382 di Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK).
Katanya, kemasukan ke USM juga menandakan bermulanya cabaran baharu buat pelajar dalam usaha mencapai impian masing-masing.
“Tahniah dan syabas kepada semua pelajar yang berjaya menjejakkan kaki ke USM, anda semua adalah yang terbaik di antara yang terbaik.
“Pendaftaran hari ini (semalam) menandakan cabaran baru bermula. Kalau dulu ibu bapa berusaha memastikan anak-anak berjaya masuk ke USM, tetapi kini ibu bapa perlu berusaha memastikan anak-anak berjaya mencapai impian mereka di sini,” katanya.
Beliau turut menegaskan keutamaan USM adalah mengambil pelajar yang memohon melalui saluran permohonan rasmi Unit Pusat Universiti (UPU).
Daripada keseluruhan 621 pelajar baharu yang mendaftar, hanya 25 adalah pelajar antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, Dr. Abdul Rahman menasihatkan pelajar supaya segera memaklumkan kepada pusat pengajian atau pihak pengurusan universiti sekiranya berdepan sebarang masalah sepanjang tempoh pengajian bagi membolehkan bantuan sewajarnya diberikan.
Pendaftaran pelajar baharu berlangsung di Desasiswa Murni dan Desasiswa Nurani.
Turut hadir Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Datuk Dr. Shaiful Bahari Ismail; Dekan PPSP USM, Profesor Dr. Kamarul Aryffin Baharuddin; Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) PPSK USM, Profesor Madya Dr. Ahmad Fahmi Lim Abdullah dan Timbalan Dekan (Pascasiswazah dan Antarabangsa) PPSG USM, Dr. Fadzlinda Baharin.
IMedikel TV






