Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Dua wanita pendatang tanpa izin (PATI) termasuk seorang bayi perempuan berusia sebulan antara yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan, hari ini.
Ibu bayi berkenaan berusia 24 tahun berasal dari Padang, Indonesia, berkata dia tinggal bersama suaminya di sebuah rumah kongsi di Kubang Kerian.
Dia berkata suaminya berusia 23 tahun bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan sebuah apartmen 42 tingkat, di sini.

”Sebelum ini saya bekerja di sebuah kedai makan di Johor namun berpindah ke Kelantan. Namun saya sudah tidak bekerja dan baru melahirkan seorang anak perempuan berusia sebulan.
”Saya datang ke Malaysia sejak tahun lalu,”katanya ketika ditemui pemberita.
Dia bersama seorang lagi wanita berusia 24 tahun dari Jawa Timur, Indonesia antara yang ditahan ketika Operasi Gempur Bersepadu JIM Kelantan.
Operasi itu diketuai Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Kawalan), Ruzaana Mohamed.
Sementara itu, Pengarah JIM Negeri Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata seramai 91 PATI ditahan dalam operasi yang dijalankan itu.
”Antara yang ditahan adalah dua wanita termasuk seorang bayi, manakala selebihnya 88 lelaki.
”Kesemua yang ditahan berusia antara 23 hingga 55 tahun. Mereka terdiri daripada warganegara Bangladesh,76; Indonesia, 11; Myanmar,2; termasuk seorang India dan empat warganegara Pakistan,”katanya.
Beliau berkata mereka yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan, tinggal melebihi tempoh dan salah guna pas kerja sementara.

”Kesemua PATI dibawa ke Depot Tahanan di Tanah Merah untuk siasatan.
”Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 12(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturaan Imigiresen 1963.
IMedikel TV






