Home Sukan JDT MENGGANAS DI BUMI SEPANYOL

JDT MENGGANAS DI BUMI SEPANYOL

233
0

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) memberi amaran awal kepada pencabar musim baharu apabila memulakan kempen pra-musim dengan membelasah kelab Sepanyol, Real Murcia Imperial 4-0 dalam aksi pemanas badan yang berlangsung di Pusat Latihan Melia Villaitana, awal pagi tadi.

Memetik laporan Harian Metro skuad kendalian Xisco Munoz tampil bertenaga sejak wisel permulaan dengan menyenaraikan empat muka baharu dalam kesebelasan utama membabitkan Jon Irazabal, Antonio Glauder, Hector Hevel dan Jairo Da Silva bagi menguji kombinasi terbaik menjelang musim baharu Liga Super.

Hanya lima minit diperlukan JDT untuk membuka tirai jaringan menerusi penyerang sensasi, Bergson Da Silva yang tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol tuan rumah selepas menerima hantaran kemas dari sebelah kiri.

Pemain import baharu, Jairo Da Silva turut mencuri perhatian apabila meledak gol keduanya bersama JDT pada minit ke-20 untuk menjadikan kedudukan 2-0, sekali gus menamatkan babak pertama dengan kelebihan buat skuad Harimau Selatan.

Bersambung babak kedua, kemasukan Romel Morales nyata memberi impak besar apabila pemain kebangsaan itu mencetak dua jaringan pada minit ke-56 dan 64 untuk memastikan kemenangan bergaya milik JDT.

Empat gol tanpa balas itu nyata membuktikan ‘keseriusan’ JDT dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut, di samping menguji keserasian pemain sedia ada dengan muka baharu.

JDT dijadual meneruskan aksi pra-musim kedua menentang Costa City di Estadi Olimpic Camilo Cano sebagai sebahagian daripada lapan perlawanan yang diatur sepanjang kem latihan di Sepanyol.

Kemenangan besar ini menjadi permulaan sempurna buat Munoz yang pastinya mahu membawa semangat kemenangan itu ke musim kompetitif nanti, dengan mata kini tertumpu kepada aksi kedua yang dijangka lebih mencabar. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here