Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menambah baik pergerakan operasi dalam menghadapi gelombang kedua banjir di negeri ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, post mortem untuk gelombang pertama menjadi panduan untuk menghadapi gelombang berikutnya sehingga Februari depan.
”Kita akan memantau dari masa ke semasa. Berdasarkan taklimat yang diberikan,saya berpuas hati dengan semua persiapan dan gerak kerja yang dilakukan oleh pasukan bomba.
”Kami akan turun ke Tumpat dan Rantau Panjang dan ada beberapa tempat lagi untuk melihat sendiri lokasi yang terkesan banjir bukan sahaja ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) malah kita juga ingin berjumpa sendiri dengan rakyat,” katanya kepada pemberita sempena program Lawatan Turun Padang Operasi Banjir Monsun Timur Laut (MTL) di Bilik Gerakan Banjir, Balai Bomba Tunjong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisyam Mohammad dan Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan.
Dalam perkembangan sama Aiman Athirah turut memuji strategi teratur yang dilaksanakan pasukan bomba di negeri ini sehingga mampu melakukan operasi menyelamat bersama agensi lain walaupun banjir berlaku di luar jangka.
”Saya berpuas hati dengan operasi dan gerak kerja menyelamat yang dilakukan 1,393 anggota bomba di seluruh Kelantan.
”Sehingga kini, semua logistik berada dalam keadaan siap sedia termasuk 12 lori, 62 bot dan sembilan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),”katanya.
Pada masa sama beliau turut memaklumkan, seramai 12 anggota bomba yang tinggal di Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang dilaporkan sebagai mangsa banjir.
Sementara itu, Nor Hisyam berkata pengalaman air naik dengan cepat di Rantau Panjang antara perkara utama yang dibincangkan melalui pos mortem gelombang pertama.
” Penilaian awal yang kita buat ialah secara khusus di kawasan Rantau Panjang. Kalau ikut pada jangkaan awal kita tidak menjangka air naik secara mendadak menyebabkan balai bomba di sana (Rantau Panjang) tenggelam.
” Jadi semua logistik dan pangkalan hadapan terpaksa dipindahkan daripada lokasi asal ke tempat lebih tinggi supaya koordinasi dapat dilakukan dengan lebih sistematik,”katanya.
IMedikel TV






