Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan sebanyak 8,337 operasi pemantauan kawasan banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) sejak 13 November lalu hingga semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, operasi tindak balas banjir itu dilaksanakan secara berterusan dan bersepadu dengan penglibatan pelbagai agensi berkaitan.

“Pemantauan rapi, pengoperasian Pusat Pemindahan Sementera (PPS), serta pelaksanaan pemindahan mangsa telah membantu mengurangkan risiko kepada nyawa dan harta benda,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Sumbangan Kebajikan anjuran Persatuan Kebajikan JBPM dengan kerjasama Biro Kebajikan Perisma JBPM Kelantan, di JBPM Kelantan, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan.
Dalam majlis berkenaan, beliau turut menyempurnakan majlis penyerahan kunci dua van jenazah jenis Toyota Hiace sumbangan Affin Bank Berhad bernilai RM439,000 yang akan ditempatkan di JBPM Kelantan dan JBPM Pulau Pinang.
“Bagaimanapun, kami berhasrat agar setiap negeri memiliki van jenazah sendiri bagi meningkatkan kecekapan operasi, selain memberi manfaat kepada anggota serta pesara bomba, khususnya melibatkan mobilisasi jarak jauh dan aspek kebajikan,” katanya.
Beliau berkata, sehingga Disember tahun lalu, seramai 553 orang atau 83.7 peratus ahli telah berdaftar dengan Persatuan Kebajikan JBPM Kelantan dan berharap agar ia dapat ditingkatkan kepada 90 peratus pada tahun ini.
IMedikel TV






