SONGYUAN, CHINA: Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro, seorang wanita berusia 62 tahun di China kini hamil enam bulan menganggap bayi yang dikandungnya sebagai ‘kepulangan semula’ anak lelaki tunggalnya yang meninggal dunia.
Memetik laporan South China Morning Post, kisah wanita dari wilayah Jilin di timur laut China itu, menjadi tular di media sosial selepas adik perempuannya kerap berkongsi perkembangan terkini mengenai kehamilan warga berkenaan.
Wanita itu dilaporkan hamil buat kali kedua selepas kehilangan anak tunggal pada Januari 2025, namun punca kematian dan umur mangsa tidak didedahkan.
Bagi mengubat duka, wanita berkenaan yang namanya tidak didedahkan menjalani prosedur persenyawaan luar rahim (IVF) pada pertengahan tahun lalu, sebelum disahkan hamil.
“Saya rasa bayi ini akan dilahirkan lebih awal daripada tarikh jangkaan dan ia sangat suka menendang perut saya,” katanya menerusi satu video yang dikeluarkan pada akhir Disember lalu.
Menurutnya, bayi itu menjadi sangat aktif setiap kali dia mengambil makanan manis yang menurut kepercayaan setempat turut menjadi petanda jantina bayi.
Di China, doktor dilarang mendedahkan jantina janin bagi mengelakkan pengguguran terpilih, namun wanita itu yakin dia bakal menimang cahaya mata lelaki berdasarkan perubahan seleranya.
Wanita terbabit menjalani pemeriksaan pranatal lebih kerap berbanding ibu hamil yang lebih muda dengan ditemani adiknya yang menggunakan nama ‘Xiao Wei’ di internet.
Bagi pemeriksaan kritikal, mereka perlu melakukan perjalanan sejauh 170 kilometer (km) ke pusat kesihatan utama di Changchun untuk mendapatkan rawatan kepakaran yang lebih rapi.
Sementara itu, pakar obstetrik kanan Hospital No 1 Harbin, Chen Min berkata, pihaknya secara prinsip tidak menggalakkan wanita hamil pada usia lanjut kerana berdepan risiko sangat tinggi.
“Kemungkinan berlaku komplikasi semasa kehamilan meningkat berkali ganda dan mereka hanya boleh memilih kaedah pembedahan yang tetap mempunyai risiko tersendiri,” katanya.
Pilihan wanita itu mencetuskan perdebatan dengan beberapa netizen mempersoalkan kemampuan fizikal pasangan itu untuk membesarkan anak selain bimbang bayi berkenaan bakal menjadi yatim piatu. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






