Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
Paku berkarat mungkin kelihatan seperti objek kecil yang tidak berbahaya sehingga adakalanya orang ramai membuangnya merata tempat.
Namun hakikatnya ia boleh menjadi ancaman serius kepada kesihatan sekiranya terpijak pada kulit.
Tahukah anda, paku berkarat membawa pelbagai risiko termasuk kecederaan, jangkitan kuman dan paling berbahaya adalah terkena penyakit tetanus yang disebabkan oleh bakteria Clostridium tetani.
Oleh sebab itu, setiap individu perlu berjaga-jaga apabila berada di tapak pembinaan, kawasan terbiar atau barangan lama yang terdedah kepada cuaca kerana ia mungkin adalah tempat berisiko.
Menurut laporan menerusi Berita Harian, karat yang terbentuk pada paku adalah hasil tindak balas besi, oksigen dan air.
Keadaan ini boleh menyebabkan struktur paku menjadi rapuh serta berbahaya apabila terkena kulit manusia.
Hal ini kerana ia boleh menjadi tempat pembiakan bakteria yang berbahaya.
Tambahan pula, kita sering tahu apabila terpijak paku sudah pasti lukanya dalam dan menyukarkan proses pembersihan.
Selain itu, bakteria seperti Clostridium tetani adalah berada di dalam tanah dan mudah melekat pada objek berkarat termasuk paku.
Sekiranya terkena pada kulit atau tubuh manusia, ia boleh menghasilkan toksin dan menyerang sistem saraf yang memberi kesan kepada kekejangan otok yang teruk, sukar bernafas, kancing gigi serta berisiko mengakibatkan kematian jika tidak dirawat.
Bagi individu yang mempunyai sistem imun yang rendah, seperti kanak-kanak, warga emas, atau pesakit kronik, risiko komplikasi menjadi lebih tinggi.
Tambahan pula, luka akibat paku berkarat boleh menimbulkan risiko jangkitan kuman sekiranya tidak dirawat dengan baik.
Oleh sebab itu, penting bagi setiap individu untuk berjaga-jaga sekiranya berada di kawasan berisiko dan segera mendapatkan rawatan jika kejadian tersebut berlaku.
IMedikel TV






