PASIR MAS: Dalam keadaan ekonomi yang sangat runcing masa kini, amat penting bagi seseorang untuk mencari pelbagai peluang bagi menambah pendapatan sampingan.
Ketua Wanita UMNO, Rita Sarbanon Ismail, berkata program demonstrasi kuih Luk Chup boleh memberi cabang kepada masyarakat untuk menjana pendapatan dengan menjual pemanis mulut itu.
Rita Sarbanon Ismail berharap program demonstrasi Luk Chup dapat memberi sinar baru kepada peserta untuk menjana pendapatan dengan kepakaran baru.
Rita berkata program itu diadakan untuk memberi pendedahan kepada orang ramai khususnya surirumah, di sini,
Katanya secara tidak langsung menimbulkan minat dalam kalangan mereka untuk menceburi bidang pembuatan kuih tersebut.
“Saya amat mengharapkan supaya apa yang dipelajari hari ini bukan sahaja untuk dibawa balik makan bersama keluarga, tetapi juga akan menjana pendapatan kepada semua dalam membantu ekonomi masing-masing,”katanya ketika ditemui pemberita semasa program Demonstrasi Kuih Luk Chup, di Bilik Gerakan DUN Tendong, baru-baru ini.
Menurut Rita, Luk Chup adalah kuih tradisional Thailand yang mempunyai nilai tinggi di pasaran dan antara yang susah untuk diperoleh di Kelantan.
Rita berkata program itu melibatkan 80 peserta dari DUN Tendong yang berusia lingkungan 40an hingga 80an.
Seorang peserta, Noraini Yaacob, 56, dari Pengkalan Pasir, berkata dia ingin belajar cara pembuatan Luk Chup untuk menambah produk dalam perniagaannya.
Noraini Yaacob berniat ingin menambah Luk Chup sebagai jualan produk baru di kedainya.
“Saya berniat untuk tambah produk dalam perniagaan saya supaya mereka boleh buat tempahan Luk Chup dengan saya untuk dijadikan sajian makanan atau gubahan hantaran,”katanya yang merupakan pengusaha roti dan kek.
Noraini berkata minatnya pada keusahawanan mendorong dirinya untuk belajar cara membuat Luk Chup sekaligus dijadikan sumber pendapatan.
Sarini Mohamad, 41, dari Tendong berkata rasa Luk Chup yang enak mendorong minatnya mempelajari cara buatan dan menjualnya di atas talian.
Sarini Mohamad berkata untuk membuat Luk Chup memerlukan tempoh masa yang lama.
“Saya nak cuba buat kalau menjadi boleh jual la, Luk Chup ni memang mahal dan berbaloi la dengan rasa dia dan cara nak buat pun memakan masa agak lama. Luk Chup adalah salah satu daripada kuih kegemaran saya.”katanya.
Sarini yang juga peniaga atas talian berkata dengan ilmu dan kepakaran yang ada akan dimanfaatkan dan dikongsikan juga kepada orang lain.