KUALA TERENGGANU: Penyerang import Johor Darul Ta’zim (JDT), Jairo Da Silva akui puas selepas berjaya meledak jaringan hatrik pertamanya pada musim ini.
Memetik laporan Harian Metro, pemain yang baharu musim pertama beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bagaimanapun akui ia bukan mudah untuk melakukannya selepas beberapa kali mencuba.
Tambah pemain berusia 33 tahun itu, saingan Liga M yang mencabar juga menuntut dirinya perlu menggandakan lagi usaha dalam memburu impian meledak seberapa banyak jaringan.
“Saya begitu gembira dan puas dapat hadiahkan pasukan dengan jaringan hatrik pada pertemuan menentang Terengganu FC (TFC). Lebih membanggakan ini adalah hatrik pertama saya dalam saingan Liga M selepas musim pertama beraksi dalam Liga M.
“Tapi apa yang lebih penting kami berjaya membawa pulang tiga mata dari Kuala Terengganu terutama pasukan lawan bukannya calang-calang pasukan.
“Terima kasih juga buat penyokong JDT yang begitu ramai datang memberikan sokongan kepada kami biarpun perjalanan yang agak jauh untuk sampai di Kuala Terengganu,” ujar Jairo ketika ditemui selepas tamat perlawanan Liga Super menentang TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Jumaat lalu.
Ketika ditanya hasratnya selepas ini, pemain yang menyarung jersi bernombor 11 itu idam jaringan yang lebih banyak lagi bersama skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Munoz itu selain memenangi dalam setiap perlawanan. – HMetro Online –
IMedikel TV






