MARRAKESH: Pemain sayap Manchester United, Amad Diallo, menjaringkan gol untuk juara bertahan Piala Negara-Negara Afrika, Ivory Coast, ketika mencatat keputusan seri 1-1 menentang Cameroon, awal pagi tadi, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi tangga teratas Kumpulan F.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, Diallo meledak gol pada minit ke-51 dalam perlawanan mendebarkan di Marrakesh untuk jaringan keduanya di kejohanan itu selepas sebelum ini menjaringkan gol kemenangan ke atas Mozambique empat hari lalu.
Namun kelebihan itu hanya bertahan lima minit apabila rembatan Junior Tchamadeu terkena Ghislain Konan sebelum membolosi gawang Ivory Coast, menghadiahkan gol penyamaan buat juara lima kali Cameroon.
Ivory Coast dan Cameroon masing-masing mengumpul empat mata, satu mata lebih banyak daripada Mozambique yang menewaskan Gabon 3-2 lebih awal di Agadir.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke pusingan 16 terakhir, manakala empat pasukan terbaik yang menamatkan saingan di tangga ketiga daripada enam kumpulan juga akan mara ke pusingan kalah mati.
Persaingan antara The Elephants dan Indomitable Lions dianggap antara yang terhebat dalam sejarah Piala Negara-Negara Afrika, sejak edisi 1970 di Sudan.
Menjelang pertembungan di Marrakesh, Cameroon mendahului rekod pertemuan dengan lima kemenangan berbanding satu, manakala dua lagi perlawanan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti yang dimenangi Ivory Coast.
Seramai 35,165 penonton memenuhi stadium, termasuk tiga bintang La Liga dan antarabangsa Perancis – Kylian Mbappe dan Aurelien Tchouameni dari Real Madrid serta Jules Kounde dari Barcelona. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






