Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis Kelantan meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan terutama di sekitar kawasan Kampung Tersang dan Jeram Perdah, Pasir Mas berikutan kejadian letupan dan bedilan awal pagi semalam di Sungai Golok.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata kawalan dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) itu dilakukan serta-merta berikutan kawasan tersebut terletak berdekatan dengan lokasi kejadian.

“Insiden letupan ini berlaku berdekatan dengan kita.
“Kita minta polis daerah Pasir Mas dan berhampiran sempadan negara membuat risikan berhubung kejadian ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, semalam.

Menurutnya setakat ini kes berkenaan tidak membabitkan penduduk tempatan dan ia berlaku antara pihak keselamatan negara sana dengan penyerang sahaja.
Sementara itu, Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Senior Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai letupan dan tembakan di Sungai Golok awal pagi ini di TikTok.
“Pihak kami menjangkakan kejadian tersebut berlaku di sebelah Thailand di sempadan kawasan Rantau Panjang.
“Secara proaktifnya, kami mempunyai 16 pos statik di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pos Ibrahim Pencen hingga ke Pos Ular di Pengkalan Kubor, Tumpat,” katanya.
Sheik Azhar berkata pihaknya berada dalam keadaan siap siaga termasuk melakukan satu rondaan jalan kaki dan bermotosikal sepanjang pos tersebut melibatkan jarak kira-kira 200 meter.
Beliau berkata terdapat juga pasukan sekatan jakan raya (SJR) bergerak dengan kekuatan enam anggota yang dijalankan secara berterusan.
Katanya pemantauan tersebut bermula sejak 6 pagi tadi secara fokus dan tindakan selanjutnya bergantung kepada arahan Ketua Polis Negeri.
Terdahulu media melaporkan, penduduk sempadan Malaysia-Thailand mengakui terkejut mendengar bunyi letupan dan bedilan yang dipercayai berlaku di kawasan Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, kira-kira 1 pagi semalam.
IMedikel TV






