BAITULMAQDIS: Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban dan 87 lain cedera, selepas jet pejuang Israel menyerang sasaran tentera Huthi berhampiran pelabuhan Hodeidah, Yaman, pada Sabtu.
Kebanyakan mangsa yang cedera dalam serangan itu melecur teruk.
Serangan udara itu menyasarkan kemudahan minyak dan stesen janakuasa, menurut laporan Al-Masirah TV, saluran berita televisyen utama yang dikendalikan oleh pergerakan Huthi Yaman.
Serangan itu dilakukan sehari selepas kumpulan Huthi melancarkan dron ke atas hab ekonomi Israel, Tel Aviv.
Penduduk Hodeidah berkata, letupan kedengaran di seluruh bandar ketika pengeboman meluas dan pasukan pertahanan awam dan bomba dilaporkan cuba memadamkan kebakaran di tangki minyak pelabuhan.
Jurucakap tentera Israel berkata, pelabuhan itu digunakan oleh tentera Huthi untuk menerima penghantaran senjata dari Iran.
Sasaran itu lebih 1,700 km dari Israel, termasuk tapak dwiguna seperti infrastruktur tenaga, katanya.
Majlis Politik Tertinggi Huthi berkata, pihaknya akan bertindak balas terhadap serangan itu.
Jurucakap tentera Huthi, Yahya Saree, berkata kumpulan itu tidak akan teragak-agak untuk menyerang sasaran penting Israel.
Pegawai Israel berkata, serangan ke atas Yaman berlaku selepas lebih 200 serangan Huthi ke atas Israel, sekali gus mencetuskan kebimbangan perang itu boleh merebak menjadi konflik serantau.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant dalam kenyataan berkata, ‘kebakaran’ yang sedang marak di Hodeidah kini dapat dilihat di seluruh Asia Barat.
“Huthi menyerang kami lebih 200 kali. Kali pertama mereka mencederakan seorang wargs Israel, kami menyerang balas.
“Dan, kita akan lakukan itu (serangan) di mana-mana tempat yang mungkin diperlukan,” katanya.
Jumaat lalu, sebuah dron jarak jauh buatan Iran dilancarkan dari Yaman dan mengenai Tel Aviv dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh Huthi.
Seorang lelaki dilaporkan terbunuh dan empat yang lain cedera. – REUTERS,BH Online –
Imedikel TV






