KUALA LUMPUR: Pemergian bintang drama Beverly Hills, 90210 dan Charmed, Shannen Doherty, 53, akibat penyakit kanser payudara cukup mengejutkan ramai.
Kali pertama mendedahkan penyakit didiagnosis pada Ogos 2015, namun luarannya Doherty kelihatan kuat dan tidak patah semangat melawan kanser dihadapi.
Penyakit kanser pulih dua tahun kemudian, namun kembali pada tahap empat pada 2019. Kanser dialami juga merebak ke tulang dan otaknya.
Ketika hayatnya, Doherty aktif dalam kempen kesedaran kanser, malah menyumbang bagi pembangunan kajian kanser untuk generasi akan datang.
“Apa yang tidak diketahui sentiasa menjadi perkara paling menakutkan. Segala-galanya boleh diurus. Kesakitan boleh diurus, hidup tanpa payudara juga boleh diurus.
“Soal bagaimana masa depan boleh memberi kesan kepada orang yang disayangi, itu yang membimbangkan.
“Pasti ada hari di mana saya berkata, mengapa saya? Kenapa saya yang patut terima semua ini?,” ujarnya.
Menerusi video dimuat di Instagram pada Jun 2023, Doherty mendedahkan kanser sudah merebak ke otaknya.
“Ketakutan saya jelas,” tulisnya.
Selang beberapa bulan, Doherty berkongsi dengan Majalah People bahawa kanser sudah merebak ke tulang.
“Saya tidak mahu mati. Saya belum puas dengan menikmati hidup, mencintai, mencipta dan mengubah perkara menjadi lebih baik. Saya belum puas segala-galanya,” katanya.
Pada awal tahun ini, Doherty berkongsi dia memulakan rawatan kanser baharu yang membolehkan rawatan sampai ke otak.
“Ini adalah satu keajaiban,” katanya yang berfikir harapan sentiasa ada.
Menerusi podcast Let’s Be Clear, beberapa bulan sebelum meninggal dunia, Doherty menyatakan keinginan berusaha hamil sebelum kanser kembali menyerang semula pada 2019.
Namun, katanya, hasrat itu tidak kesampaian dek usia dan penyakit yang dihidapi.
“Bukan sahaja saya mahukan anak untuk diri sendiri, tetapi untuk suami juga. Saya mahukannya untuk perkahwinan kami. Saya mahu sebahagian keinginan suami tercapai,” ujarnya.
Doherty berkahwin kali ketiga pada 2011 mencuba nasib untuk melakukan rawatan kesuburan in-vitro (IVF) atau bayi tabung uji beberapa kali, namun gagal.
Kemudian, usaha terhenti atas faktor menopaus dan penyakit kanser payudara.
Doherty dan bekas suaminya, Kurt Iswarienko berkahwin pada 2011 ketika usia sudah lanjut. Perkahwinan ketiga itu bertahan 13 tahun, namun mereka berpisah pada awal tahun lalu.
Sabtu lalu, Doherty yang cukup dikenali dengan watak pelajar bernama Brenda Walsh dalam Beverly Hills, 90210 akhirnya pergi buat selama-lamanya.
Majalah People melaporkan, jurucakap Doherty, Leslie Sloane mengesahkan kematian aktres itu.
“Dengan hati yang berat, saya mengesahkan pemergian pelakon Shannen Doherty. Pada Sabtu, 13 Julai, beliau tewas dalam perjuangan melawan kanser selepas bertahun-tahun berdepan penyakit itu,” katanya.
Doherty mula bekerja pada usia muda dengan menjayakan watak kecil dalam Father Murphy, Little House on the Prairie, The Secret of NIMH dan Girls Just Want to Have Fun pada usia 15 tahun.
Pada 1988, Doherty membintangi komedi gelap, Heathers bersama Winona Ryder. Beliau kemudian membuat penampilan istimewa menerusi rancangan televisyen.
Dua tahun kemudian, Doherty mencapai kejayaan sebagai Brenda Walsh dalam drama remaja popular, Beverly Hills, 90210, yang purata lebih 21 juta penonton.
Doherty meninggalkan siri itu sebelum musim kelima, namun kembali pada 2008 dan 2019.
Beliau juga menempa kejayaan besar menerusi drama bersiri Charmed yang dibintanginya selama tiga musim. Doherty juga pernah mengarahkan beberapa episod. – AGENSI,BH Online –
Imedikel TV






