Home Buletin Semasa IMIGRESEN LUMPUHKAN SINDIKET JUDI ’ONLINE’

IMIGRESEN LUMPUHKAN SINDIKET JUDI ’ONLINE’

95
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melumpuhkan sindiket perjudian dalam talian yang berselindung di sebalik rumah sewa dan perniagaan kecil ketika menjalankan serbuan di sekitar Bukit Bintang, di sini pada Isnin.

Serbuan itu dilakukan hasil risikan selama sebulan di Jalan Alor, Jalan Changkat dan Jalan Bedara secara serentak pada jam 10.30 malam membabitkan 25 pegawai pelbagai pangkat daripada Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, lokasi-lokasi serbuan itu dipercayai pusat operasi sindiket yang beroperasi setiap hari dan semakin aktif pada waktu malam hingga lewat pagi.

“Sindiket ini menyasarkan warga asing sebagai sasaran dengan tawaran wang pelaburan antara RM50 hingga RM500 dan menjanjikan pulangan keuntungan yang tinggi dalam masa singkat.

“Ia menggunakan kawalan keselamatan yang ketat dengan melantik penjaga warga asing yang dikenali sebagai “Captain”, untuk membuat pengecaman wajah sebagai tapisan pelanggan sebelum dibenarkan masuk,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pasukan operasi memeriksa seramai 31 lelaki warga asing dan dua lelaki tempatan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati seramai 19 individu membabitkan 12 lelaki warga Bangladesh, empat lelaki Myanmar dan tiga lelaki Indonesia berumur antara 21 hingga 50 tahun ditahan.

“Mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini.

Selain itu, jelas beliau dua lelaki dan seorang perempuan tempatan diberikan notis untuk hadir ke Pejabat Imigresen bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam pada itu, pihak Imigresen turut merampas peralatan seperti 59 unit tablet pelbagai jenama, tiga unit monitor dan tiga dekoder rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan satu unit CCTV wifi dipercayai digunakan oleh sindiket berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat atau bersekongkol dengan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang imigresen dan digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha pembanterasan jenayah secara menyeluruh,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here