MESKIPUN tirai 2024 berbaki lebih sebulan lagi untuk beralih ke tahun baharu, namun kalendar seni hiburan 2025 sudah pun diisi dengan aktiviti konsert nyanyian.
Bagi penganjuran konsert penyanyi tempatan, bertempat di Zepp Kuala Lumpur (KL) akan berlangsung Konsert Megahitz 3 Dekad Vol 1 tahun depan.
Ia menampilkan sembilan penyanyi ternama seperti Datuk Nash, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Man Bai, Ramlah Ram, Zur Eda, Nurshila Amin, Andy Flop Poppy dan bakat muda, Amir Masdi.
Penganjur konsert berkenaan, Afiezan Shah Mohd Zahari berkata, satu tarikan utama apabila gabungan kesemua penyanyi itu dapat mengimbau semula era kegemilangan industri muzik Malaysia.
“Konsert ini bukan saja untuk meraikan artis-artis lagenda, tetapi untuk mengimbau kembali zaman kegemilangan industri muzik tanah air. Setiap penyanyi dalam barisan ini sudah meninggalkan impak yang luar biasa.
“Jadi, kami (penganjur) teruja untuk memberikan satu malam yang penuh dengan kenangan indah era 1980-an dan 1990-an, termasuk muzik berkualiti tinggi kepada semua penonton yang hadir.
“Malah, karya setiap penyanyi yang terbabit dalam barisan konsert ini juga berjaya menyentuh hati ramai pendengar. Mereka bukan sekadar penyanyi, tetapi ikon yang mencerminkan seni muzik dan budaya masyarakat kita,” katanya.
Menurut Afiezan Shah lagi, pihaknya selaku penganjur konsert sangat teruja dan bersemangat untuk menawarkan kepada penonton satu pengalaman yang penuh dengan kenangan manis serta nostalgia hangat.
“Nantikan persembahan yang menjanjikan muzik berkualiti tinggi, di mana lagu-lagu hits daripada setiap penyanyi tersohor itu akan diperdengarkan, sekali gus membawa kembali memori indah untuk semua.
“Kami cuma berharap konsert ini akan menjadi satu ‘show’ yang tak boleh dilupakan penonton, di mana meriahnya muzik dengan himpunan peminat yang sudi bersama untuk meraikan industri muzik Malaysia dan menghargai bakat tempatan,” katanya.
Bagi melengkapkan lagi kenangan indah malam itu, penganjur juga mengajak penonton yang hadir mengenakan ‘dress code’ dengan tema retro untuk mengabadikan memori manis bersama.
Konsert menampilkan Shah Slam sebagai pengarah muzik ini turut disertai kemunculan istimewa, Kid Search yang juga pemain gitar asal kumpulan Gersang untuk lagu Masih Aku Terasa.
Malah penonton bakal dihiburkan dengan 22 buah lagu popular dan tiket menyaksikan konsert ini sudah mula dijual sejak 29 September lalu. – HMetro Online –
IMedikel TV






