Home Sukan IHEANACHO, NWABALI WIRA NIGERIA, HALLER BAWA IVORY COAST KE FINAL

IHEANACHO, NWABALI WIRA NIGERIA, HALLER BAWA IVORY COAST KE FINAL

137
0

ABIDJAN: Penyerang gantian, Kelechi Iheanacho dan penjaga gol, Stanley Nwabali memainkan peranan penting ketika Nigeria menewaskan Afrika Selatan 4-2 dalam penentuan penalti di separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Juara tiga kali itu akan bertemu tuan rumah, Ivory Coast, yang menguasai permainan dalam satu lagi aksi separuh akhir tetapi sekadar merakam kemenangan 1-0 ke atas Republik Demokratik Congo di Abidjan.

Nigeria terikat 1-1 selepas masa tambahan di Bouake tetapi memastikan tiket ke final Ahad ini (awal pagi Isnin) dengan mengungguli penentuan penalti.

“Pasukan kami berjiwa besar. Kami berjuang bersama-sama. Kami ada 25 pemain dan sukar untuk menewaskan kami.

“Jika memikirkan berkenaan gol kedua (Nigeria) yang dibatalkan dan jaringan penyamaan (Afrika Selatan), banyak pasukan pasti akan berputus asa.

“Saya sangat gembira, pemain-pemain juga gembira. Mereka berhak menang, Super Eagles berhak menang, rakyat Nigeria berhak menang,” kata pengendali Nigeria, Jose Peseiro.

Pengendali Afrika Selatan, Hugo Broos berkata: “Bola sepak boleh menjadi kejam. Anda tidak bermain baik menentang Cape Verde, tetapi menang menerusi penentuan penalti. Anda bermain baik menentang Nigeria dan tewas penentuan penalti.”

Pemain Leicester City, Iheanacho sekadar memanaskan bangku simpanan dalam lima perlawanan sebelum ke separuh akhir.

Dia dimasukkan oleh Peseiro buat pertama kali selepas minit ke-102 menentang Afrika Selatan dan dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti penentuan.

Nwabali, yang bermain untuk kelab Afrika Selatan, Chippa United, menyelamatkan sepakan penalti Teboho Mokoena dan Evidence Makgopa.

Dalam permainan sebenar, Nigeria mendahului menerusi kaptennya, William Troost-Ekong – hasil sepakan penalti pada minit ke-67.

Nigeria menambah jaringan pada minit ke-85 menerusi penyerang sensasinya, Victor Osimhen, namun jaringan berkenaan dibatalkan pengadil selepas merujuk monitor VAR.

Afrika Selatan sebaliknya mendapat sepakan penalti yang disempurnakan Mokoena dan permainan diheret ke masa tambahan sebelum berakhir dengan penentuan penalti.

Tuan rumah, Ivory Coast, meneruskan kebangkitan cemerlang di kejohanan ini dengan mara ke final selepas menewaskan DR Congo.

Sebastian Haller meledak gol tunggal permainan pada minit ke-65 dan kini tuan rumah berpeluang merebut kejuaraan selepas hampir tersingkir di peringkat kumpulan. – AFP,BH Online-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here