LONDON: Pertahanan Manchester United, Harry Maguire menegaskan bekas pengurus Ruben Amorim mempunyai idea yang bagus, namun ia akhirnya tidak menjadi di Old Trafford.
Malah, Maguire turut memuji pengurus sementara Michael Carrick kerana menguruskan peralihan dengan lancar.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, United kembali bangkit sejak Carrick mengambil alih pada Januari, naik ke kelompok tiga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mengutip 23 mata daripada 10 perlawanan, dengan hanya satu kekalahan.
“Saya sangat suka Ruben, dia mempunyai idea yang hebat. Cuma idea itu tidak menjadi di Manchester United,” kata Maguire dalam temubual bersama The Guardian.
“Ia tidak menjadi atau tidak serasi dan kami sebagai pemain juga perlu memikul banyak tanggungjawab terhadap perkara itu.”
Amorim dikenali dengan sistem tiga pertahanan, tetapi Maguire berkata beliau lebih selesa bermain dalam formasi empat bek.
“Di tengah-tengah tiga pertahanan, ia lebih berhati-hati, seperti peranan ‘sweeper’ dan tidak banyak membawa bola ke hadapan, sedangkan itu sebahagian besar daripada permainan saya sepanjang karier,” katanya.
“Saya rasa peralihan ini sangat baik. Kredit kepada Michael dan barisan kejurulatihannya kerana menjadikannya begitu lancar.”
Maguire turut disenaraikan minggu lalu dalam skuad 35 pemain Thomas Tuchel bagi pasukan England yang akan menentang Uruguay di Stadium Wembley pada 27 Mac, sebelum berdepan Jepun di venue sama empat hari kemudian. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






