KUALA LUMPUR: Atlet taekwondo wanita negara, Nur Humaira Abdul Karim optimis mampu meraih emas dalam acara berpasangan campuran di Sukan SEA Thailand yang akan bermula Disember nanti.
Jelasnya, dia melihat gandingannya bersama Jason Loo semakin serasi serta bertambah baik dalam setiap kejohanan yang disertai sebelum ini sekali gus yakin dapat terus menyumbang emas buat kem negara.
Memetik laporan Harian Metro, katanya, pada edisi kali ini, tuan rumah tidak mempertandingkan acara poomsae individu dan itu menyebabkan dirinya tidak dapat menambah koleksi emas seperti yang dimenangi pada Sukan SEA Kemboja 2023.
“Saya yakin boleh kekalkan momentum ini (kemenangan) sebab tahun lalu kami ada bertanding di Kejuaraan Dunia. Kejohanan itu tahapnya tinggi dan kami berjaya meraih pingat gangsa (bersama Jason). Jadi, saya melihat gandingan kami boleh menang pingat.
“Ini adalah kali ketiga saya mewakili negara pada Sukan SEA. Edisi di Kemboja, saya menang emas individu dan perak berpasukan. Tetapi tahun ini, tiada acara individu sebaliknya hanya acara berpasangan, berpasukan dan gaya bebas,” katanya.
Selain itu, untuk memastikan impian emas itu tercapai, Humaira akan menyertai beberapa kejohanan dan terbaharu, mereka akan bersaing di Kejohanan Antarabangsa Taekwondo Terbuka Korea yang akan berlangsung pada 15 hingga 20 Julai ini.
“Saya letak sasaran untuk menang sekurang-kurangnya dua pusingan awal sebab kalau nak menang emas, perlu berlawan enam ke tujuh pusingan.
“Antara pencabar utama sudah pastilah Korea. Biasanya kejohanan ini kita tak letak sasaran pingat, hanya cuba dapatkan mata dan pengalaman. Saya pernah sertai sekali Terbuka Korea, memang majoriti atlet (terbaik) adalah dari tuan rumah dan peluang untuk menang itu sangat tipis tapi ia bergantung kepada prestasi juga,” katanya.
Selain Terbuka Korea, Humaira juga sudah menyertai pertandingan di Terbuka Austria dan pada September nanti, dia akan ke Australia pula untuk menyertai kejohanan di sana sebagai usaha membentuk keserasian yang lebih baik bersama Jason sebelum melangkah ke Sukan SEA Thailand. – HMetro Online –
IMedikel TV






