Oleh: Alini Nadhirah Ismail, Wartawan Imedikel TV
TUMPAT: Susulan enam dakwaan bendera parti dikhianat oleh sesetengah individu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memberi pandangannya bahawa perbuatan khianat adalah budaya yang tidak betul.
Menurut beliau dalam berparti serta demokrasi perlu saling menghormati, profesional dalam setiap perkara serta bertanggungjawab untuk mengelakkan isu berunsur sabotaj atau khianat.

“Bagi sesetengah orang akan tengok benda tersebut bertentangan jadi kita kena profesional dan penuh bertanggungjawab, semua pihak di Kelantan Inshaallah kita minta semua jentera parti bergerak mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,”katanya ketika ditemubual pemberita selepas Majlis Pelancaran Smart Nego Centre,di Wisma Purnama, Wakaf Bharu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad berkata, persiapan jentera pilihan raya PAS sudah mencapai hampir 95 peratus bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
“Jentera kita sudah dipersiapkan awal lagi, mungkin sudah hampir 95 peratus siap di peringkat negeri. Kita juga membuat pemantauan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Unit Daerah Mengundi (UDM) agar PRN kali ini kita hadapi dengan persiapan penuh rapi,” katanya.






