KUALA LUMPUR: Nafiz Muaz menegaskan disiplin menjadi faktor utama yang perlu diterapkan dalam diri setiap pelakon bagi memastikan proses penggambaran lancar.
Memetik laporan Berita Harian, Nafiz atau nama sebenar, Muhd Nafiz Muaz Mat Nasir, 28, berkata, bakat semata-mata tidak mencukupi jika seseorang gagal menghormati masa dan komitmen di lokasi penggambaran.
“Bagi saya, tidak perlu terlalu bagus. Cukuplah kita menjaga disiplin kerana itulah yang mempengaruhi kerja kita di set penggambaran,” katanya ketika ditemui pada tayangan eksklusif drama Yes! Captain Zul Aaryan di TGV KLCC di sini, baru-baru ini.
Menurut Nafiz, antara masalah disiplin yang masih berlaku dalam industri kreatif adalah kegagalan menepati waktu sehingga menjejaskan jadual keseluruhan produksi.
“Selalunya waktu panggilan (‘call time’) yang sering dilanggar. Apabila kita datang lewat ke set, kita sudah melambatkan kerja semua orang dan mengambil masa mereka.
“Saya harap semua pelakon menghargai masa kerana bukan kita seorang sahaja yang bekerja di set, sebaliknya ramai lagi kru yang mencari rezeki di situ. Hormatilah masa orang lain,” katanya.
Nafiz mengaku pernah menunggu sehingga lima jam di lokasi penggambaran akibat kelewatan pihak lain, namun, memilih untuk bersabar kerana memahami tuntutan kerja dalam industri seni.
“Saya pernah menunggu selama lima jam, tetapi saya tidak merungut kerana itu juga sebahagian daripada kerja saya.
“Cuma. saya kasihan kepada kru lain kerana kelewatan akan menjejaskan jadual penolong pengarah dan keseluruhan produksi.
“Saya tidak pernah marah pelakon yang datang lewat. Kadang-kadang kita sendiri mungkin terlewat sehari atau dua hari kerana terlalu penat. Saya harap mereka juga faham situasi saya,” katanya.
Pelakon berasal dari Sungai Petani, Kedah ini berkata, dia sentiasa berusaha memahami keadaan orang lain dan mahu mewujudkan suasana kerja yang sihat.
“Saya belajar memahami situasi orang lain dan tidak mengharapkan mereka menjadi seperti saya.
“Saya hormat mereka dan berharap mereka juga menghormati kekurangan saya. Kita mahu bekerja bersama untuk tempoh yang panjang. Kalau sentiasa bermasam muka, suasana kerja tidak lagi menyeronokkan,” katanya.
Berkongsi mengenai pembikinan drama Yes! Captain Zul Aaryan, Nafiz berkata, naskhah itu menemukan beliau buat kali pertama dengan Jazmy Juma.
“Pada mulanya, saya sangka sukar untuk kami mencari keserasian terutama pada hari pertama penggambaran.
“Bagaimanapun, apabila masing-masing sudah selesa, kami rupa-rupanya sekepala. Alhamdulillah, ini juga kali pertama kami berlakon dan bertemu antara satu sama lain,” katanya.
Drama Yes! Captain Zul Aaryan mula disiarkan slot Akasia TV3 sejak 10 Julai lalu. Selain Nafiz dan Jazmy, drama itu turut dibintangi Anna Jobling, Natasha Sass dan Daniel Fong.
Nafiz berehat panjang daripada dunia lakonan antara 2019 hingga 2021 sebelum kembali aktif secara perlahan-lahan bermula 2022.
Antara drama lakonan Nafiz adalah Doa Yang Terlindung, Cinta Tiada Ganti, Semua Salahku dan Cinta Belum Tamat Tempoh.-BH Online-
IMedikel TV






