Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pelarasan harga runcit petroleum bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April ini susulan peningkatan harga minyak mentah global akibat konflik berterusan di Asia Barat sejak penghujung Februari lalu.
Dalam kenyataan Kementerian Kewangan (MoF), harga RON97 ditetapkan pada RM5.15 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi diselaraskan kepada RM3.87 seliter di Semenanjung Malaysia.
“Bagaimanapun, harga RON95 bersubsidi di bawah inisiatif BUDI MADANI kekal pada kadar RM1.99 seliter bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga global.
“Bagi diesel pula, harga di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM5.52 seliter, sementara harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan dikekalkan pada RM2.15 seliter,”jelas kenyataan itu.
Menurut MoF, pelarasan berkenaan dibuat secara berperingkat bagi memastikan kestabilan harga bahan api di pasaran tempatan di samping mengambil kira perkembangan semasa pasaran global.
“Kerajaan akan terus memantau situasi pasaran minyak dunia dan menyelaras harga runcit petroleum dari semasa ke semasa bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.
IMedikel TV






