Hampir 30 tahun berkecimpung dalam karier seni sebagai pelakon, Syed Aiman, 51, kini boleh berbangga mempunyai syarikat produksi yang ditubuhkan sejak 2014 untuk menghasilkan telefilem dan drama tempatan.
Memetik laporan Harian Metro, bertemu jodoh juga dengan pelakon juga anggota Elite, Linda Rafar, 48, pada 2006, pasangan bahagia ini bersyukur dikurniakan empat cahaya mata lelaki yang disifatkan Syed Aiman senang diuruskan.
Namun, katanya semua anak itu didapati tidak menunjukkan minat untuk mengikut jejak langkah kedua ibu bapa menceburi karier seni kerana terarah dengan minat masing-masing.
“Anak-anak saya buat masa ini tidak ada seorang pun yang mengikut jejak langkah saya dan juga Linda dalam industri. Mereka semuanya, empat lelaki itu ada minat masing-masing.
“Mungkin sebab mereka pun sudah tengok macam mana ayah dan ibu sibuk bekerja dalam industri seni sebelum ini. Jadi, secara tidak langsung minat mewarisi (darah seni) itu tiada.
“Apatah lagi, mereka pun tahu kehidupan saya dan Linda sebagai artis. Jadi, mereka seperti tidak berminat dan saya okay. Bahkan apa saja minat mereka nanti, saya hormati,” katanya.
Berbicara pengaruh kehidupan sebagai keluarga selebriti dikenali kepada anak-anak, Syed Aiman atau nama sebenar Syed Kamaruzaman Syed Mahmud mengakui amat memahami minat anak muda sekarang.
“Saya tengok kebanyakan anak muda masa kini, mereka memang tidak mengikut sangat minat ibu bapa. Bagi saya, dari segi rasa teruja terhadap karier seni ibu bapa itu mungkin ada, tapi kalau nak jadi artis dan ikut jejak langkah itu yang tak ada.
“Saya pun tengok juga anak adik ipar iaitu Diana dan Zamarul Hisham, sama juga memang tak ada anak-anak mereka yang tunjuk minat mendalam terhadap seni,” katanya.
Menurut Syed Aiman, dua anak lelakinya bersikap sangat pemalu sekali gus berbeza dengan karakter dirinya dan Linda yang boleh beraksi di hadapan kamera.
Berbicara mengenai perkembangan industri, Syed Aiman memberitahu syarikat produksinya menerbitkan telefilem, Suami Untuk Nek Su yang akan disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Kalau berkaitan perubahan industri sekarang, cukup mencabar sebenarnya. Sebagai seorang pelakon mencabar, termasuk sebagai penerbit pun mencabar. Begitu juga, mereka yang bekerja di belakang tabir.
“Cabaran dalam industri pada masa kini terlalu banyak. Macam dulu, kita lain asalkan tahu konsep bekerja dan juga pendapatan kita. Tetapi, sekarang ini, persaingan sudah sangat besar.
“Umpama sebagai penerbit, kalau nak dapatkan satu tawaran ‘job’ daripada stesen televisyen agak susah. Kadang-kadang, nak dapat terbitkan satu tahun satu produk saja pun susah.
“Peluang untuk nak dapatkan satu-satu tawaran itu sukar. Tapi macam saya, Alhamdulillah rezeki dipelbagaikan. Sebab sebagai selebriti, peluang boleh dikatakan ada banyak juga.
“Contohnya, kalau tak dapat ‘job’ untuk terbitan produk seperti telefilem dan drama, saya boleh juga berlakon. Tapi, saya dulu memang pernah dapat terbitkan tiga drama dalam setahun,” katanya.
Katanya, sepanjang sibuk sebagai penerbit, dia sentiasa berusaha gigih untuk mendapatkan ‘job’ drama dari stesen televisyen mengikut saluran yang betul tanpa menggunakan bantuan orang lain. – HMetro Online –
IMedikel TV






