LONDON: Xabi Alonso dilaporkan bersedia untuk menjadi pengurus baharu Liverpool FC bagi menggantikan Arne Slot yang sedang berdepan tekanan hebat.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, The Reds mengalami kekalahan ke-10 musim ini dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas 1-2 kepada Brighton & Hove Albion pada Sabtu, sekali gus meletakkan mereka lima mata di luar kelompok empat teratas.
Kedudukan pengendali berusia 47 tahun dari Belanda itu, kini berada dalam bahaya apabila juara bertahan EPL terbabit hampir pasti melepaskan kejuaraan mereka.
Menurut akhbar Jerman Bild, pihak pengurusan Liverpool mengenal pasti Alonso, 44, sebagai pengganti paling ideal.
Legenda kelab itu juga dilaporkan berminat untuk kembali ke Anfield, di mana dia pernah menghabiskan lima tahun yang penuh kejayaan sebagai pemain.
Namun begitu, tuntutan kewangan dan kontrak jurulatih dari Sepanyol itu perlu dipenuhi terlebih dahulu.
Difahamkan bekas pengendali Real Madrid itu juga mahu diberikan kuasa penuh oleh pengurusan kelab dalam urusan membentuk skuad.
Namun, bekas jurulatih Bayer Leverkusen itu tidak berhasrat untuk mengambil alih sebelum musim ini berakhir.
Ketua Eksekutif Liverpool, Michael Edwards, dilaporkan sudah lama mahu mendapatkan Alonso sejak musim bunga 2024 sebagai pengganti Jurgen Klopp.
Ketika itu, bekas pemain tengah tersebut membawa Leverkusen meraih gelaran berganda pertama dalam sejarah kelab.
Jurulatih dari Sepanyol itu menolak tawaran untuk menyertai Liverpool dan kekal semusim lagi di Leverkusen selepas menjuarai liga tanpa kalah.
Namun, Edwards terus mengekalkan hubungan dengan bekas pemain Real Sociedad itu walaupun Liverpool menjuarai EPL musim lalu di bawah Slot.
Ejen Alonso, Inaki Ibanez baru-baru ini turut mengesahkan adanya permintaan serius daripada Liverpool untuk mendapatkan khidmat anak guamnya.
Gergasi EPL itu dikatakan mempunyai “peluang terbaik” untuk mendapatkan jurulatih Sepanyol berkenaan, yang kini berstatus ejen bebas.
Alonso sebelum ini dipecat oleh Real Madrid selepas 34 perlawanan dan hanya enam bulan mengendalikan pasukan di Santiago Bernabeu. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






