ISTANBUL: Pihak berkuasa Kuwait pada Rabu memaklumkan mereka sedang menangani kebakaran di sebuah tangki bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait selepas ia menjadi sasaran “dron musuh”.
Menurut Anadolu Ajansi, jurucakap Pasukan Bomba dalam kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Berita Kuwait berkata, pasukan pemadam kebakaran dengan sokongan tentera, Pengawal Negara dan unit sektor minyak, sedang berusaha mengawal kebakaran.
Pasukan kecemasan turut menangani empat kebakaran berasingan di lokasi berlainan yang berpunca daripada serpihan yang jatuh, katanya.
Secara berasingan, jurucakap Kementerian Pertahanan berkata sistem pertahanan udara mengesan 20 peluru berpandu balistik dan sembilan dron musuh dalam tempoh 24 jam lepas, tanpa sebarang kematian dilaporkan.
Beliau berkata 13 peluru berpandu dan enam dron berjaya dimusnahkan, manakala dua dron mengenai tangki bahan api lapangan terbang sehingga mencetuskan kebakaran yang kini sedang dikawal.
Unit Pengawal Negara turut memusnahkan satu dron dan lima lagi pesawat tanpa pemandu di kawasan operasi mereka, katanya. – BERNAMA-ANADOLU, HMetro Online –
IMedikel TV






