Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan pengisian petrol dan diesel ke dalam tong atau bekas selain tangki asal kenderaan adalah tidak dibenarkan tanpa permit khas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata pengisian bahan api ke dalam bekas hanya dibenarkan kepada pemegang permit khas yang dikeluarkan KPDN, membabitkan 10 kategori tertentu sahaja.
“Antara kategori yang layak termasuk penggunaan bagi forklift, pengangkutan air, penduduk di kawasan pedalaman dan pulau, pengusaha industri makanan, aktiviti rekreasi air, sektor pertanian dan penternakan, bantuan kecemasan, kerja penyelenggaraan, pelancongan serta pembinaan berskala kecil,”katanya dalam kenyataan semalam.
Orang ramai yang layak boleh membuat permohonan permit khas secara dalam talian melalui sistem yang disediakan oleh KPDN menerusi https://spb.kpdn.gov.my.
Menurut beliau dalam situasi kecemasan, pengisian petrol atau diesel ke dalam bekas atau tong dibenarkan, namun dihadkan kepada maksimum 20 liter sahaja.
IMedikel TV






