NEW YORK: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) memaklumkan subvarian COVID-19 JN.1 mengakibatkan antara 39 hingga 50 peratus daripada keseluruhan kes di Amerika Syarikat (AS), setakat 23 Disember lalu.
Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian, peningkatan itu melepasi anggaran CDC yang dibuat setakat 8 Disember lalu yang mengunjurkan 15 peratus kepada 29 peratus kes di AS.
CDC berkata, varian itu terus menyebabkan peningkatan jangkitan dan itu varian yang paling banyak merebak di negara berkenaan, ketika ini.
Katanya, pernularan berterusan membuktikan varian itu lebih mudah menular atau lebih baik dalam melawan sistem imun berbanding varian lain yang sedang merebak.
Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk mengetahui sejauh mana JN.1 akan menyebabkan peningkatan dalam jangkitan atau kemasukan ke hospital, kata CDC, sambil menambah vaksin, ujian dan rawatan sedia ada masih berfungsi dengan baik untuk menangani jangkitan penyakit itu.
Selasa lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan JN.1 sebagai varian mempunyai kepentingan (VOI) dan berkata bukti semasa menunjukkan risiko kepada kesihatan awam rendah daripada jujukan varian itu. – REUTERS, BH ONLINE-
IMEDIKEL TV






