BEIJING: Seorang guru baik hati di Sekolah Menengah Chongqing Dianjiang di barat daya China dirakam kamera pengawasan sedang menggendong pelajar lelaki sedang tertidur di sekolah itu, baru-baru ini, lapor akhbar tempatan cqnews.net.
Xu Longjun akan menggendong dan membawa pulang pelajarnya itu jika tertidur kerana menyedari dan prihatin bahawa pelajarnya sedang menghadapi penyakit jarang jumpa iaitu narkolepsi, kecenderungan yang melampau untuk tertidur.
Xu akan membawa pelajarnya ke kereta sebelum memandunya pulang ke rumah di mana dia akan dijaga oleh datuk dan nenek.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, pesakit narkolepsi boleh menjadi mengantuk pada siang hari dan sukar untuk membangunkan mereka daripada tidur.
Penyakit yang sangat jarang berlaku, narkolepsi hanya menjejaskan 0.03 hingga 0.16 peratus daripada populasi dan walaupun ia boleh menyerang pada sebarang umur, ia lebih biasa dalam kalangan remaja lelaki, menurut akhbar The Paper.
Huang Shichang, seorang doktor dari Hospital Universiti Peking di Beijing, memberitahu baidu.com bahawa jika keadaan tidak bertambah baik, penghidap secara beransur-ansur boleh kehilangan ingatan, keupayaan untuk menumpukan perhatian, dan kemahiran koordinasi mereka.
Xu berkata, dia mula menyedari pelajar lelaki dikenali sebagai Yinyuan itu tidur berlebihan, kira-kira dua tahun lalu.
Dia menyimbah air ke muka pelajarnya itu, malah mencubitnya dalam usaha untuk mengejutkannya, tetapi ia tidak berjaya.
Guru itu memaklumkan kepada keluarga Yinyuan dan mencadangkan mereka membawanya ke hospital di mana doktor mendiagnosis budak lelaki itu mengalami narkolepsi.
Walaupun sudah dirawat, keadaan budak lelaki itu masih belum sembuh walaupun ada bertambah baik sedikit.
“Kekerapan serangan narkolepsinya adalah dua hingga tiga kali seminggu sebelum ini. Ia menurun sedikit sejak tahun lalu,” kata Xu.
Xu berkata, dia berasa terpaksa membawa pelajarnya itu pulang ke rumah kerana bimbang kemungkinan berlaku kemalangan.
Guru tabah itu mengakui, ia adalah tugas yang sukar menggendong remaja lelaki yang beratnya kira-kira 40 kilogram (kg) kemudian menuruni empat anak tangga sekolah ke tingkat bawah, dan berjalan selama lima minit lagi ke tempat letak kereta.
“Saya perlu berjalan secara perlahan-lahan namun mantap dan stabil. Saya tidak mahu pelajar saya itu terjatuh,” katanya.
Ibu bapa Yinyuan sudah bercerai dan dia tinggal bersama datuk dan neneknya.
“Disebabkan bantuan cikgu Xu, kami berani menghantar cucu kami itu ke sekolah. Betapa baiknya hati cikgu Xu,” kata datuk dan nenek pelajar lelaki itu.
Xu berkata adalah menjadi tanggungjawabnya untuk melakukan apa yang dia mampu untuk membantu, dan satu-satunya harapannya ialah gangguan tidur budak lelaki itu dapat disembuhkan.
“Guru yang bertanggungjawab dan baik hati. Tabik kepada cikgu Xu!” komen seseorang di media sosial.narkolepsi, China, Asia – AFP, HMetro Online –
Imedikel TV






