Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang guru Al Quran dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan membuat panggilan video lucah dengan anak murid perempuan, antara Mac hingga Jun lalu.
Huzaifah Ismail, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuah Lah.
Mengikut pertuduhan pertama, pada 13 Mac hingga 11 Mei lalu, tertuduh didakwa berkomunikasi secara seksual menggunakan telefon bimbit dengan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun enam bulan, di Kubang Kerian.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan dibacakan bersama Seksyen 27 Akta yang sama.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh pula didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal ke atas mangsa sama yang ketika itu berusia 11 tahun sembilan bulan, di lokasi sama.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada jam lebih kurang 4.18 pagi, 21 Jun lalu, dan 6.01 petang pada 26 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Mohamad Naqib Mohamad Noor.
Bagaimanapun, Siti Hajar tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh memandangkan hubungan mangsa dan tertuduh adalah guru dan anak murid.
Mahkamah menetapkan 8 Disember ini sebagai sebutan semula kes.
IMedikel TV






