LONDON: Manchester City semakin hampir membawa Ilkay Gundogan kembali ke Stadium Etihad selepas hanya 14 bulan menyertai Barcelona.
Namun dia diberikan nombor jersi baharu selepas Mateo Kovacic memakai nombor lapan susulan perpindahan pemain Jerman itu ke Sepanyol.
Gundogan menjadi pemain utama Barca musim lalu apabila tampil 33 perlawanan La Liga dan sembilan aksi Liga Juara-Juara tetapi dia tersenarai dalam kalangan sepuluh pemain bakal dilepaskan awal bulan ini.
Menurut media Sepanyol Sport, perpindahan semula Gundogan ke City tampak hampir menjadi kenyataan.
Ini selepas dia bertemu bekas majikannya itu dan menghubungi sendiri pengurus Citizen Pep Guardiola bagi mempercepatkan proses rundingan.
Gundogan memakai jersi nombor lapan dalam semua tujuh kempennya di Etihad yang menyaksikan dia dilantik kapten tetap pada musim terakhir.
Tetapi dia tidak boleh mengambil jersi terbabit daripada Kovacic yang beraksi penuh 90 minit dan menjaringkan gol ketika menewaskan Chelsea pada perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu.
Gundogan sebaliknya boleh memilih antara nombor 21 dan 22. Pemain berusia 33 tahun itu memakai jersi nombor 21 pada kebanyakan aksi antarabangsa bersama Jerman dan turut memakai jersi sama ketika musim pertama di Borussia Dortmund.
City akan berdepan Ipswich Town pada aksi kedua Liga Perdana Inggeris di tempat sendiri dan dijangka tiada masalah untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






