Home Sukan GP INDONESIA PALING MALANG BUAT MARQUEZ

GP INDONESIA PALING MALANG BUAT MARQUEZ

LONDON: Marc Marquez menyifatkan Grand Prix (GP) Indonesia sebagai litar paling teruk buat dirinya berdasarkan rekod lalu, namun juara dunia itu tiada masalah dengan baki kalendar MotoGP 2026.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, juara dunia bertahan itu kini hanya ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Jorge Martin, selepas menguasai kedua-dua perlumbaan di GP Aragon.

Ia hadir selepas hujung minggu mengecewakan di Silverstone apabila pelumba Ducati itu hanya menduduki tempat kesembilan dalam perlumbaan sprint dan ketujuh dalam GP, sekali gus menyaksikan jurang dengan Martin melebar kepada 40 mata.

Susulan masalah berterusan pada bahu kanannya, Marquez perlu memanfaatkan sepenuhnya litar yang popular untuknya, terutama litar mempunyai arah lawan jam, sambil cuba mengehadkan kehilangan mata di litar yang kurang sesuai.

Ketika ditanya litar mana dijangka menjadi cabaran dalam baki perlumbaan ketika memburu kejuaraan, Marquez berkata: “Perlumbaan ke satu perlumbaan. 

“Berdasarkan sejarah, Indonesia yang paling teruk buat saya kerana setiap tahun saya mempunyai kenangan buruk di sana. 

“Tetapi selain itu, saya rasa OK dengan baki litar. Jadi, perlumbaan ke satu perlumbaan. Sekarang saya perlu pulih daripada perlumbaan ini dan memberikan tumpuan kepada Misano.”

Marquez tidak memulakan perlumbaan GP Indonesia 2022 di Mandalika selepas mengalami gegaran otak akibat kemalangan ngeri ketika sesi pemanas badan.

Dia terbabas pada perlumbaan edisi 2023, manakala masalah teknikal menyebabkan dia gagal menamatkan GP pada tahun berikutnya.

Tahun lalu pula, dia terkeluar daripada GP selepas terbabit dalam perlanggaran dengan Marco Bezzecchi yang mengakibatkan dia mengalami keretakan bahu yang kompleks.

Kemenangan berganda Marquez di Aragon menyaksikan dia kini mengumpul tiga kemenangan berganda musim ini selepas kejayaan sama di Hungary dan Jerman, selain kemenangan pada Ahad di Czechia.

Ketika bercakap mengenai peluangnya memburu kejuaraan dalam rancangan MotoGP, After the Flag, selepas perlumbaan Aragon pada Ahad, Marquez berkata: “Seperti saya katakan, jika kami mahu mempunyai peluang minimum untuk bersaing merebut kejuaraan, di litar yang bagus untuk kami, kami tidak boleh kehilangan mata.

“Itulah yang kami lakukan hujung minggu ini. Ia litar yang bagus dan kami mencapai yang terbaik, malah Martin juga sedikit bergelut hujung minggu ini.

“Saya percaya Martin dan Marco akan menjadi sangat pantas pada penghujung musim ini.” – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here