Home Hiburan GENIUS KIDS PENTASKAN MUZIKAL RANDAI MUDO PAK BELALANG DI DFP

GENIUS KIDS PENTASKAN MUZIKAL RANDAI MUDO PAK BELALANG DI DFP

195
0

KUALA LUMPUR: Ibarat pepatah melentur buluh biarlah daripada rebung, muzikal Randai Mudo Pak Belalang yang bakal dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 10 Ogos depan, bukan sahaja mengetengahkan bakat kanak-kanak, malah mendidik mereka mencintai seni tradisi.

Sebagai pelapis, pendedahan awal seperti itu penting kerana merekalah yang bakal meneruskan legasi seni randai yang mungkin agak asing dalam masyarakat agar tidak pupus ditelan zaman.

Menampilkan kira-kira 20 kanak-kanak daripada kumpulan Genius Kids iaitu anak kepada kakitangan dan alumni Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA), pengarah muzikal Randai Mudo Pak Belalang, Mohd Adika Zainal mengakui seni randai sesuai diperkenalkan pada peringkat kanak-kanak.

“Kanak-kanak bersemangat mempelajari sesuatu yang baharu, selain memerlukan tenaga yang banyak untuk mempersembahkannya.

“Sebelum ini, persembahan randai sering dimainkan anak muda dan dewasa. Jadi, kita cuba pupuk seni ini kepada kanak-kanak pula,” katanya ditemui pada sesi pratonton dan sidang media muzikal Randai Mudo Pak Belalang di DFP, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) ASWARA, Raja Nor Sheela Raja Aziddin; Pengurus Produksi, Juhara Ayob dan koregrafer muzikal, Mohamed Yusmar Afeendi Yusof.

Mohd Adika berkata, kumpulan Genius Kids sebelum ini pernah mementaskan randai Badang.

“Randai memerlukan banyak pergerakan dan menuntut tenaga yang bukan sedikit. Kalau kanak-kanak, mereka ada keupayaan melakukan pelbagai disiplin pergerakan berbanding orang dewasa yang mungkin menggunakan dua atau tiga pergerakan sahaja.

“Walaupun agak berat tugasan yang dilakukan, kanak-kanak ini sangat bersemangat dan seronok ketika sesi latihan.

“Disebabkan terlalu teruja mereka turut memberi cadangan dari segi pergerakan yang ingin mereka lakukan,” katanya.

Disebabkan semua pelakon kanak-kanak, Adika mengakui tugas pengarahan menjadi lebih mencabar, terutama dalam aspek mengawal emosi.

“Proses latihan mengambil masa masa setahun, termasuk memperkenalkan mereka dengan seni randai melalui bengkel.

“Latihan untuk muzikal ini bermula bulan lalu dan persiapan sudah mencecah 70 peratus.

“Apabila membabitkan pelakon kanak-kanak, prosesnya sedikit rumit. Kita perlu fahamkan mereka dari segi lakonan dan lontaran dialog.

“Lagipun naskhah asal adalah untuk orang dewasa. Ini bermakna mereka perlu melakonkan watak orang dewasa.

“Selain itu, proses hafalan agak sukar untuk mereka, terutama yang belum pernah terbabit dalam persembahan randai.

“Cabaran lain yang terpaksa dihadapi adalah mod kanak-kanak terbabit. Kalau mereka datang latihan dalam keadaan lapar atau mengantuk, susah sedikitlah,” katanya.

Sempena persembahan di DFP, tiga lagu dipilih sebagai lagu wajib untuk segmen Buka Gelanggang iaitu Budu Landai, Cantik Manis dan Anak Bocek.

Persembahan Randai Mudo Pak Belalang adalah pengisian ketiga DFP Seni Festival 2024 selepas konsert Jit Sin High School’s Chinese Orchestra dan Mek Mulung Putera Cahaya Bulan. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here