Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen (Imigresen) menumpaskan sindiket penyeludupan migran warga Indonesia dalam satu operasi khas di Kajang, Selangor, pada Isnin.
Operasi bermula jam 6 petang itu membabitkan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban, dalam suatu kenyataan, berkata berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 42 tahun yang dikenali sebagai ‘Jon’ disyaki sebagai ‘transporter’.
“Pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan mengekori sebuah kenderaan yang mencurigakan. Pasukan operasi telah menahan kenderaan tersebut di sebuah premis kediaman yang dijadikan ‘rumah penampungan’.
“Pasukan operasi turut melakukan pemeriksaan ke atas premis kediaman tersebut dan berjaya menahan dua orang ‘ahli sindiket’ merupakan lelaki warganegara Indonesia yang disyaki sebagai penjaga premis berusia 20 dan 41 tahun.
“Turut ditahan 21 lelaki dan lima perempuan warganegara Indonesia berusia 21 hingga 50 tahun. Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 29 orang,”katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata hasil semakan awal mendapati 13 warganegara Indonesia telah tinggal lebih masa manakala warganegara Indonesia yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini
“Pasukan operasi telah merampas 14 naskhah pasport Indonesia, wang tunai sebanyak RM13,430 dan menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Vios yang dipercayai untuk mengangkut PATI.
Tambahnya modus operandi sindiket adalah dengan membawa masuk dan keluar warganegara Indonesia melalui pintu masuk yang tidak diwartakan.
“Warganegara asing akan ditempatkan sementara di sebuah ‘rumah penampungan’ sebelum dibawa ke lokasi tertentu menggunakan kenderaan. Sindiket ini mengenakan bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap seorang dan telah beroperasi selama enam bulan.
Menurutnya seorang lelaki warganegara Indonesia ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Sek.26J dan dua lelaki warganegara Indonesia ditahan kerana disyaki di bawah Sek.26H Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Manakala kesemua migran warganegara Indonesia ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Sek.6(3) dan Sek.15(4) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.
“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturanperaturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,”katanya.
IMedikel TV






