Home Hiburan FAZURA BERKORBAN DEMI NYAMMA

FAZURA BERKORBAN DEMI NYAMMA

143
0

KUALA LUMPUR: Dalam perjalanan sebagai anak seni yang sarat liku dan capaian peribadi, ada kala mereka perlu memilih memperlahankan langkah demi memberi ruang kepada keutamaan baharu dalam hidup.

Memetik laporan Berita Harian, begitulah fasa yang sedang dilalui aktres popular, Nur Fazura, apabila mengambil keputusan besar berkaitan hala tuju kerjaya lakonan, khususnya membabitkan projek drama televisyen (TV).

Fazura atau nama sebenar, Nur Fazura Sharifuddin, 43, secara rasmi mengumumkan pengundurannya daripada bidang lakonan drama bersiri dalam semua stesen TV tempatan. Sebaliknya, si jelita ini akan memberi tumpuan kepada penggambaran filem sama ada di Malaysia atau Indonesia.

Menurut Fazura, keputusan itu dibuat selepas menimbang beberapa faktor utama, termasuk keinginan memberi perhatian penuh kepada anak perempuannya, Nur Fatima Aisya atau mesra disapa Nyamma yang kini berusia enam tahun.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Jadi, saya bercakap dengan beralas. Buat masa ini, secara rasminya saya bersara daripada berlakon drama dalam semua stesen TV di Malaysia.

“Dari segi filem pula, saya masih terbuka bergantung kepada projek. Fokus saya kini lebih kepada filem, sama ada di Malaysia atau Indonesia.

“Namun untuk drama, memang secara rasmi saya bersara daripada semua lakonan drama di stesen TV tempatan,” katanya ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026 di Jakel Mall di sini, baru-baru ini.

Pada majlis sama, Fazura turut diumumkan sebagai rakan kolaborasi eksklusif bagi Koleksi Raya 2026 keluaran jenama tekstil dan fesyen terkemuka itu.

Fazura yang sudah lebih dua dekad berkecimpung dalam dunia seni berkata, keputusan untuk tidak lagi terbabit dalam drama TV turut dipengaruhi kekangan masa dan komitmen penggambaran yang panjang.

“Sejujurnya, saya sudah tidak mempunyai masa untuk terbabit dengan drama yang memerlukan tempoh penggambaran panjang.

“Fatima sangat rapat dengan saya. Dia juga mengalami kebimbangan akibat perpisahan atau ‘separation anxiety’. Dia sukar berjauhan dengan saya terlalu lama.

“Jika saya keluar bekerja dalam tempoh panjang, dia akan cari saya. Malah, ketika tidur pun dia menunggu saya pulang,” katanya.

Pelakon filem Manisnya Cinta di Cappadocia dan Pisau Cukur itu berkata, selain faktor masa, ada beberapa perkara lain yang turut mendorong keputusannya untuk tidak lagi terbabit dalam drama bersiri TV.

“Kekangan masa antara faktor utama saya ambil keputusan ini. Sudah tentu ada juga beberapa perkara lain yang mendorong saya untuk berhenti berlakon drama di semua stesen TV di Malaysia,” katanya yang turut berpengalaman dalam bidang pengacaraan.

Fazura menegaskan keputusan itu dibuat demi mengimbangkan tuntutan kerjaya dan tanggungjawab sebagai seorang ibu, selain menyerahkan sepenuhnya ketentuan masa depan kepada Yang Maha Esa.

“Ini suatu keputusan besar dan saya tekad melakukannya. Sekali lagi saya bercakap dengan beralas. Secara rasminya saya mengumumkan bersara daripada drama TV.

“Namun, kita tidak tahu ketentuan Allah pada masa hadapan,” katanya.

Bagaimanapun, Fazura masih terbuka untuk terus berkarya dalam bidang muzik di bawah naungan syarikat rakaman Universal Music Malaysia.

“Untuk bidang muzik, masih ada beberapa perancangan, termasuk daripada Universal Music Malaysia. Saya juga masih berminat untuk menghasilkan lagu.

“Ketika ini, saya sudah mula mengikuti kelas vokal. Sudah tentu saya bukan penyanyi profesional kerana minat utama saya tetap pada lakonan.

“Namun, minat terhadap muzik masih ada. Jika ada karya atau lagu yang menarik daripada penerbit, insya-Allah saya terbuka,” katanya.

Mengulas sambutan orang ramai apabila diumumkan sebagai rakan kolaborasi eksklusif bersama Jakel, Fazura mengakui tidak menyangka keterujaan luar biasa peminat atas projek itu.

“Sejujurnya, saya memang langsung tidak menyangka orang akan teruja sampai macam ini. Alhamdulillah, semuanya datang daripada Allah. Saya sangat bersyukur dan segala puji bagi Allah.

“Penerimaan yang saya dapat daripada semua orang sangat baik, Saya benar-benar tidak menjangka sokongan dan keterujaan yang begitu besar terhadap kolaborasi ini. Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong saya,” katanya.

Menurut Fazura, kolaborasi dengan Jakel boleh dianggap sebagai pencapaian terbesarnya untuk awal tahun ini.

“Boleh dikatakan untuk tahun ini, inilah pencapaian terbesar bagi saya setakat awal tahun. Yang lain-lain itu, saya belum berani nak kongsikan lagi.

“Saya sentiasa berpegang pada prinsip bahawa saya merancang, tetapi Allah yang menentukan. Apa yang diredai Allah, insya-Allah akan berlaku dan apa yang tidak diredai-Nya, maka tidaklah ia terjadi,” katanya.

Pada masa sama, Fazura berkata, dia mempunyai pelbagai perancangan lain sepanjang tahun ini, namun, memilih untuk berkongsi secara berperingkat.

“Insya-Allah, mudah-mudahan dengan izin dan keredaan Allah, semuanya dapat direalisasikan. Tetapi buat permulaan tahun ini, inilah yang paling besar bagi saya,” katanya.

Mengulas mengenai anak perempuannya, Fazura berkata, Fatima menunjukkan minat terhadap dunia kreatif sejak kecil, namun dia tetap berhati-hati dalam membuat pilihan.

“Fatima memang minat. Dia suka fesyen, menyanyi, berlakon dan dia ada saluran YouTube sendiri. Dia suka mekap dan dunia kreatif ini.

“Namun, saya tetap berhati-hati dan memilih. Saya tak mahu terlalu mendedahkan dia. Saya akan pilih perkara yang berkualiti dan tidak berlebihan,” katanya.

Menurut Fazura, meskipun menerima permintaan ramai untuk Fatima menghasilkan vlog, termasuk perkongsian peribadi, dia memilih untuk mengawal pendedahan anaknya.

“Ramai yang minta vlog, termasuk vlog peribadi. Tetapi saya rasa perkara ini perlu dikawal. Contohnya, ketika ‘travel’ (bercuti) baru-baru ini, ramai yang minta vlog.

“Saya tanya dia, Nyamma tak nak buat untuk YouTube?. Dia jawab tak nak,” katanya.

Fazura turut menyifatkan Fatima sebagai seorang kanak-kanak yang memahami batas privasi sejak kecil.

“Nyamma lebih menjaga privasi, sama macam saya. Saya seorang yang sangat ‘private’ dan elemen itu ada pada dia. Nyamma tahu bila dia nak tampil dan bila dia nak berehat.

“Setakat ini, Alhamdulillah semuanya okay. Asalkan ada makanan dan mummy dia, dia okay. ‘Mood’ dia pun Alhamdulillah baik, tak banyak ragam. Itu yang saya sangat bersyukur,” katanya.

Fazura memulakan kerjaya lakonan pada usia 21 tahun menerusi filem Bicara Hati pada 2004 dengan menggalas watak utama, Noraini.

Sepanjang kariernya, beliau sudah membintangi kira-kira 16 drama televisyen, dengan naskhah Gol & Gincu The Seriespada 2006 antara karya yang melonjakkan namanya, sebelum diteruskan dengan musim kedua setahun kemudian.

Kemunculan terakhir Fazura di layar kaca adalah menerusi drama Lelaki Itu yang ditayangkan di Slot Samarinda TV3 pada 2024.

Menerusi naskhah tulisan Erma Fatima yang diarahkan Along Kamaludin dan Nur Ain Sharif itu, Fazura bergandingan bersama Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Nabila Huda dan barisan pelakon lain. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here