Home Hiburan FATTAH YAKIN LAGU RAYA AMIRA BAKAL MELETUP

FATTAH YAKIN LAGU RAYA AMIRA BAKAL MELETUP

76
0

KUALA LUMPUR: Hanya bermula dengan pertanyaan ringkas mengenai sambutan Syawal, penyanyi Amira Othman tidak menyangka perbualan santai bersama adiknya, Irfan Haris, akhirnya melahirkan sebuah lagu raya berjudul Bincang Raya.

Memetik laporan Berita Harian, idea itu tercetus apabila Irfan bertanya kepada Amira mengenai lokasi sambutan Aidilfitri tahun ini, sekali gus mencetuskan inspirasi untuk mereka menghasilkan lagu raya pertama sebagai pasangan adik-beradik.

Lagu ciptaan Haiqal Iskandar, Irfan Haris, Shazriq Azeman dan Omar K itu dihasilkan secara spontan, sekali gus menjadi kolaborasi raya pertama antara dua beradik terbabit.

Amira berkata, idea penghasilan lagu tersebut tercetus secara tidak dirancang, namun akhirnya menjadi kenyataan apabila mendapat sokongan daripada suaminya, Fattah Amin.

“Daripada pertanyaan Irfan mengenai saya akan beraya di mana tahun ini, secara tidak langsung kami mendapat idea untuk lagu ini.

“Fattah pula memang memberi galakan supaya saya berduet dengan Irfan. Jadi tercetuslah Bincang Raya yang sebenarnya dibuat pada saat akhir,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu berkenaan di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Menurut Amira, proses pembikinan lagu tersebut bermula sekitar Januari sebelum diteruskan dengan rakaman pada Februari lalu.

Malah, suaminya turut memainkan peranan penting apabila bertindak sebagai pengarah video muzik bersama Khalid Nadzri.

“Sejujurnya kami langsung tidak merancang untuk mengeluarkan lagu raya kerana jadual saya agak padat.

“Tetapi Fattah memberi galakan. Apabila Irfan memberikan lagu itu kepada saya, Fattah juga ada di sebelah dan selepas mendengarnya, dia terus menyatakan lagu itu bakal meletup,” katanya.

Amira berkata, sebagai isteri, dia hanya mampu mengaminkan kata-kata baik yang dilafazkan suaminya.

“Selepas itu, Fattah menyatakan hasrat untuk mengarahkan video muzik kerana dia suka jalan cerita lagu ini.

“Jadi kami teruskan dengan rakaman video muzik. Jalan cerita itu juga dihasilkan oleh Fattah dan Khalid kerana mereka memang sering berkolaborasi,” katanya.

Amira berkata, dia dan Irfan tidak menyangka lagu tersebut menerima sambutan positif daripada pendengar, khususnya di media sosial.

Sejak dilancarkan di platform TikTok, lagu itu berjaya mengumpul lebih 30,000 penyertaan cabaran raya daripada pengguna.

“Saya rasa ini semua adalah rezeki. Kadang-kadang bila kita keluarkan lagu, kita rasa sudah okey, tetapi kita tidak tahu bagaimana penerimaan orang.

“Setiap kali mengeluarkan lagu, kita hanya mampu bertawakal. Jika orang suka, alhamdulillah,” katanya.

Amira turut mengakui berasa terharu apabila ramai peminat menandakan mereka dalam cabaran Bincang Raya.

“Bila melihat klip terakhir dalam video muzik itu dan ramai yang ‘tag’ kami dalam cabaran mereka, saya rasa sangat terharu.

“Apabila orang suka, itu kepuasan buat kami sebagai penyanyi dan pengkarya,” katanya.

Dalam masa sama, Amira berkata, keputusan menghasilkan lagu raya bukan untuk bersaing dengan sesiapa, sebaliknya sekadar memeriahkan sambutan Syawal.

Menurutnya, kepelbagaian genre lagu raya yang muncul setiap tahun memberi lebih pilihan kepada pendengar.

“Saya rasa sesiapa pun boleh menghasilkan lagu raya sekarang kerana kita mempunyai medium yang luas dengan kewujudan media sosial.

“Jadi saya tidak melihat lambakan lagu raya sebagai satu masalah kerana cita rasa setiap orang berbeza,” katanya.

Amira mengakui setiap lagu yang dihasilkan ibarat satu pertaruhan kerana penerimaan pendengar sukar dijangka.

“Ada lagu yang sangat sedap, tetapi kita tidak tahu bagaimana rezekinya. Ada juga lagu yang mungkin biasa sahaja, tetapi rezekinya sangat baik.

“Jadi tidak ada yang salah atau betul. Terpulang kepada individu. Jika mereka gembira berkarya menerusi lagu raya, kenapa tidak,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here