KUALA LUMPUR: Pelakon popular, Fattah Amin tampil menafikan dakwaan kononnya dia bakal mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Amira Othman pada 25 Mei ini.
Memetik lap[oran Harian Metro, Fattah, 34, berkata, tarikh itu tidak pernah dibincangkan antara kedua-dua pihak dan percaya ia hanya spekulasi peminat yang mungkin menyukai angka 25.5.2025.
“Saya perasan ada yang sebut 25 Mei tarikhnya, tapi sebenarnya tiada langsung tarikh perkahwinan ditetapkan antara saya dan Amira.
“Mungkin peminat nak tengok artis kesayangan mereka bahagia dan melangkah ke fasa seterusnya. Tapi buat masa sekarang, hubungan kami tak lebih dari rakan sekerja,” katanya.
Fattah ditemui pada majlis Pesta Unifi TV Lagi Best sempena ulang tahun ke-12 Unifi TV yang berlangsung di Centre Court, The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, semalam.
Ditanya mengenai pertemuan bersama keluarga Amira di Singapura baru-baru ini, Fattah menjelaskan ia berlaku secara kebetulan apabila kedua-dua keluarga masing-masing hadir ke lokasi acara yang sama.
“Saya dijemput penganjur untuk program motivasi di sana dan saya yang cadangkan supaya Amira turut serta. Kebetulan saya ke sana dengan keluarga dan saat akhir Amira maklumkan keluarga dia pun akan datang sebab mereka dah ada di Johor Bahru.
“Keluarga Amira sangat baik dan merendah diri. Adik dia, Irfan pun sopan dan jenis suka menyakat kakak dia. Klien pun okay dan kita pun anggap sebagai gurauan yang menggembirakan semua,” katanya.
Dalam pada itu, Fattah mengakui tidak pernah penat menjawab soalan berkaitan Amira dan memahami minat peminat serta pihak media yang sering ingin mengetahui perkembangan hubungan mereka.
Ini bukan kali pertama timbul khabar angin mendakwa Fattah dan Amira bakal berkahwin, termasuk sebelum ini yang mengatakan mereka akan bernikah sejurus selepas Aidilfitri. – HMetro Online –
IMedikel TV






