Home Buletin Semasa FAMA BEKAL 90,000 BIJI TELUR KE JERANTUT

FAMA BEKAL 90,000 BIJI TELUR KE JERANTUT

156
0

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang bertindak segera dengan membekalkan 90,000 biji telur gred A, B dan C bagi menampung kekurangan bekalan sumber makanan berkenaan di Jerantut sejak beberapa hari lalu.

Pengarah FAMA Pahang, Saiful Sadri, berkata pihaknya telah menghantar bekalan telur ke Pusat Khidmat Pemasaran Jerantut petang semalam dan pengguna boleh mula mendapatkan sumber makanan berkenaan hari ini apabila jualan dilakukan.

Menurutnya, selain menjual terus kepada pengguna, pihaknya turut mengedarkan kepada beberapa pemborong dan peniaga tempatan yang akan menjual ke beberapa kawasan lain di daerah ini selain bandar Jerantut.

Katanya, FAMA mendapat arahan daripada kerajaan Jumaat lalu supaya dapat segera menyediakan bekalan telur kepada pengguna di Jerantut yang mendakwa sumber makanan berkenaan mula berkurangan dan usaha telah dilakukan bagi mendapatkan bekalan.

“Kita mendapat bekalan telur daripada pembekal utama di Melaka, dalam tempoh lima bulan sejak November tahun lalu kira-kira satu juta biji telur ayam gred A, B dan C termasuk Omega telah diedarkan kepada pengguna serta peniaga yang berdaftar dengan agensi FAMA di negeri ini.

“Telur yang dibekalkan FAMA sekurang-kurangnya dapat menampung bekalan sumber makanan berkenaan yang terjejas sebelum ini, disebabkan berlaku kekurangan pengeluaran,” katanya, dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, FAMA mengagihkan bekalan telur kepada lebih 15 penjual terdiri daripada usahawan bimbingan FAMA seperti AgroBazar Rakyat, Pusat Khidmat Pemasaran FAMA (PKPF), peniaga Pasar Tani, pemborong, pekedai runcit dan FAMA daerah.

Saiful berkata, sebelum ini sambutan diterima terhadap telur yang dibekalkan amat menggalakkan apabila hanya dalam masa beberapa jam, telur habis diagihkan kepada usahawan termasuk pengguna.

“Kita akan terus mengedar telur ayam selagi ada permintaan daripada pengguna di negeri ini. Proses membawa masuk telur ayam akan dilakukan secara berperingkat dengan jumlahnya tertakluk kepada permintaan daripada usahawan.

“Kita akan bekerjasama dengan usahawan bagi mendapatkan maklumat berkaitan permintaan daripada pengguna sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya yang berharap isu berkaitan kekurangan telur ayam dapat diselesaikan secara berperingkat.

Saiful berkata, selain telur gred A, B dan C, pihaknya turut membekalkan telur Omega 3 pada harga kawalan.

Sementara itu, beberapa peniaga yang ditemui berpuas hati apabila berpeluang mendapatkan bekalan telur terus daripada FAMA dengan harga kawalan.

Sumber: BH Online

– Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here