KUALA LUMPUR: Adakah harapan peminat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melihat bintang Colombia, Radamel Falcao menyertai Harimau Selatan benar-benar akan menjadi kenyataan?.
Persoalan itu tercetus susulan ciapan terbaharu yang dibuat pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Twitter miliknya, hari ini.
Menerusi ciapan itu, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menyatakan akan berjumpa dengan bekas penyerang Atletico Madrid dan Manchester United itu.
“Jumpa anda dalam masa terdekat,” tulis Tunku Ismail yang turut ‘tag’ nama Falcao dan ejen bola sepak, Morris Pagniello.
Sebelum ini, media Sepanyol, Marca melaporkan Falcao, 37, bersedia untuk menyertai JDT yang juga juara Liga Super sembilan kali berturut-turut.
BH Sukan pula melaporkan JDT kemungkinan perlu menyediakan RM5 juta setahun untuk membayar gaji Radamel Falcao seandainya penyerang itu menyertai skuad Harimau Selatan.
Malah, khabar angin itu turut mendapat reaksi ketua jurulatih Harimau Selatan, Esteban Solari yang tidak menolak kemungkinan Falcao bakal memperkuatkan pasukan itu pada jendela perpindahan kedua musim ini.
Katanya, pihaknya hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada TMJ bagi merealisasikan perpindahan berkenaan.
“Kita tahu kemungkinan itu ada dan bos (Tunku Ismail) sedang melihat perkara itu menerusi kerjasama dengan pihak tertentu. Seperti sedia maklum JDT adalah kelab besar seterusnya mengetahui peluang yang ada di luar,” katanya.
Sumber: BH Online
Imedikel TV






