LEICESTER: Wolverhampton Wanderers memulakan era pengurusan Vitor Pereira dengan kemenangan cemerlang 3-0 ke atas Leicester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), sekaligus menamatkan rentetan empat kekalahan berturut-turut dan semakin hampir dengan zon selamat.
Pereira, yang dilantik sebagai pengurus baharu Wolves minggu lalu, melakukan beberapa perubahan pada kesebelasan utama berbanding perlawanan terakhir di bawah kendalian Gary O’Neil.
Pemain pelawat tampil berani dan berjaya untuk menjaringkan ketiga-tiga gol pada babak pertama.
Gol daripada Goncalo Guedes, Rodrigo Gomes dan Matheus Cunha memberi kegembiraan kepada penyokong Wolves yang kini melonjak ke tangga ke-18, dua mata di belakang Leicester di tangga ke-17.
Penyokong yang hadir turut menyanyikan nama Pereira selepas wisel penamat, dan pengurus berusia 56 tahun dari Portugal itu menghampiri arah penyokong untuk memberi penghargaan.
“Saya meminta mereka untuk berasa bangga dengan kerja kami pada penghujung perlawanan dan menjadikan penyokong bangga dengan apa yang kami lakukan. Dalam masa tiga hari untuk mengatur pasukan dan memberi keyakinan kepada mereka untuk bermain, itu sesuatu yang sukar,” kata Pereira kepada BBC Radio.
“Saya percaya kami akan kekal di EPL dan kami akan bermain pada tahap yang lebih baik daripada yang ditunjukkan hari ini. Hari ini saya gembira kerana pasukan menunjukkan semangat yang diinginkan oleh penyokong Wolves.”
Wolves mendahului pada minit ke-19 apabila Guedes membiarkan hantaran jauh daripada Nelson Semedo melantun dan penyerang Portugal itu mengambil peluang untuk melakukan rembatan dari sudut sempit tanpa menoleh, mengatasi penjaga gol Leicester, Danny Ward.
Wolves kemudiannya memperoleh gol kedua selepas pemain sayap Leicester, James Justin, gagal mengawal bola hantaran jauh Matt Doherty, membenarkan Gomes menyelinap di belakangnya untuk mengawal bola dan melepaskan rembatan mudah menewaskan Ward untuk gol kedua.
Wolves menambah gol ketiga melalui Cunha sebelum rehat sekali gus membuatkan penyokong tuan rumah mengherdik pasukan mereka dengan lebih bergema. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






