Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan kegagalan pengesahan dokumen pengenalan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) proses kewarganegaraan membabitkan tujuh pemain naturalisasi Malaysia yang dikaitkan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan siasatan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Dalam kenyataan semalam, EAIC memaklumkan pasukan khas itu ditubuhkan selaras dengan subseksyen 17(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700], susulan siasatan yang turut dijalankan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Pasukan Petugas Khas berkenaan akan diketuai Timbalan Pengerusi EAIC, Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham, bersama tiga ahli Suruhanjaya iaitu Datuk Siti Zainab Omar, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail, dan Datuk Ong Lam Kiat, serta pegawai kanan daripada Bahagian Operasi EAIC,”menurut kenyataan itu.
Menurut EAIC, berdasarkan keputusan Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 11/2025 yang diadakan semalam, mesyuarat memutuskan agar siasatan menyeluruh dilaksanakan terhadap aspek integriti, tadbir urus dan pematuhan prosedur dalam pengurusan serta pengesahan dokumen pemain terbabit.
“EAIC memohon kerjasama penuh semua agensi dan pihak berkaitan sepanjang proses siasatan dijalankan memandangkan isu ini membabitkan kepentingan awam serta integriti negara di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan itu.
IMedikel TV






