Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sebanyak 309 tan sisa elektrik dan elektronik (e-sisa) bernilai RM7.78 juta dalam Op Taring E-Waste yang membongkar kegiatan pengumpulan dan penyimpanan e-sisa secara tidak sah di Senawang, Negeri Sembilan.
Operasi bersepadu pada Khamis lalu kira-kira jam 10.30 pagi itu turut membawa kepada penahanan 11 warga Bangladesh berusia antara 27 hingga 49 tahun bagi membantu siasatan.
Ia menerusi Op Taring E-Waste yang dijalankan oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar /Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Bukit Aman dengan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa.
Operasi bersepadu yang dinamakan Ops Taring E-Waste itu turut membabitkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, SWCorp Nilai, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada seorang penyelia dan 10 pekerja am yang dipercayai bekerja di sebuah premis yang disyaki digunakan sebagai lokasi pengumpulan dan penyimpanan e-waste tanpa mematuhi keperluan serta peruntukan undang-undang ditetapkan.
“Pemeriksaan menyeluruh di premis berkenaan mendapati sejumlah besar barangan elektrik dan elektronik disimpan secara pukal, termasuk longgokan e-waste, beg jumbo serta palet yang mengandungi barangan elektronik.
“Selain 309 tan e-waste, rampasan turut membabitkan sebuah mesin compressor, sebuah mesin compress, dua forklift dan 750 kilogram palet solar.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM7.781 juta, dengan e-waste sahaja bernilai RM7.725 juta,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pihak berkuasa turut menemukan peralatan dan jentera yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti di premis berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian individu yang ditahan turut disyaki melakukan kesalahan berkaitan dokumen perjalanan dan kemasukan ke Malaysia.
“Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Mohd Yusri berkata, JAS Negeri Sembilan mengambil tindakan ke atas premis mengikut peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana beroperasi tanpa lesen yang dibenarkan.
Dalam perkembangan berkaitan, sepanjang 1 Januari hingga 19 September lalu, WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman telah melaksanakan 264 serbuan di seluruh negara.
“Operasi berkenaan membawa kepada penahanan 452 individu atas pelbagai kesalahan termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar serta kesalahan berkaitan e-waste.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi tempoh berkenaan dianggarkan RM329.64 juta,” katanya.
IMedikel TV






