Home Buletin Semasa REMAJA INDONESIA DITAHAN, DADAH 25.95 KG BERNILAI RM1.29 JUTA DIRAMPAS

REMAJA INDONESIA DITAHAN, DADAH 25.95 KG BERNILAI RM1.29 JUTA DIRAMPAS

Oleh: Wartawan IMedikel TV

JOHOR BAHRU: Remaja lelaki warga Indonesia berumur 18 tahun ditahan bersama 25.95 kilogram (kg) dadah disyaki jenis syabu dan heroin bernilai RM1.29 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek yang tinggal lebih masa di negara ini berperanan sebagai penjaga stor penyimpanan dadah ditahan, dalam serbuan di Jalan Delima, Taman Lian Seng, Kluang pada 13 September lalu.

Katanya rumah berkenaan disewa tanpa sebarang kontrak perjanjian dan dipercayai dijadikan stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

“Dalam serbuan itu pihak polis merampas lapan paket plastik disyaki syabu dengan berat 8.11 kg dan 38 paket plastik disyaki heroin dengan berat 17.84 kg.

“Suspek dipercayai terbabit dengan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak Januari lalu dengan dalang sindiket masih diburu.

“Suspek yang mempunyai passport masuk ke Malaysia secara sah, bagaimanapun hasil semakan mendapati suspek sudah tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, semalam.

Menurut beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dari sebarang jenis dadah.

Manakala semakan rekod jenayah lampau terhadapnya juga tidak terbabit dengan mana-mana kes jenayah sebelum ini.

“Suspek kini direman tujuh hari bermula 14 September lalu, sehingga esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here